HUJUNG minggu lalu, warga bandar raya Shah Alam khususnya di Taman Sri Muda, Kampung Kebun Bunga Batu Tiga, Kampung Padang Jawa dan Seksyen 20 dilanda banjir hingga menyebabkan kemusnahan harta benda. Fenomena tidak terduga ini dikatakan berlaku 100 tahun sekali.
Pada saat ini, kita tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia menjadi tanggungjawab kita. Tidak kira siapa pun kita, sama ada jutawan, bilionair mahupun hidupan lain, semua akan tenggelam akibat banjir jika sistem perparitan dan pelepasan air tidak disenggara.
Sebelum ini di Shah Alam contohnya, banjir kilat hanya melibatkan kawasan tertentu dan ia segera surut. Namun, kali ini kawasan rendah dan tinggi turut hilang ditenggelami air.
Harapan penduduk Shah Alam hari ini, suatu usaha holistik harus digembleng oleh pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah banjir pada masa depan. Langkah terbaik adalah mewujudkan banyak kolam tadahan ataupun terowong seperti Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) di ibu negara yang boleh mengatasi limpahan air hujan.
Sememangnya banjir kali ini amat luar biasa dan seharusnya kaedah luar biasa turut dikaji dan dilaksana segera sebelum lebih banyak harta musnah dan nyawa terkorban. Sebaiknya, hentikan perbalahan melibatkan beberapa agensi yang menguruskan bencana.
CCTV
Rakyat boleh menilai siapa yang buat kerja dan siapa yang jadi ‘kamera litar tertutup’ (CCTV) sahaja. Ada pemimpin muda dan berpengalaman yang dahulunya bercakap seperti dia yang paling pandai di Twitter mengalahkan Albert Einstein kini ghaib entah ke mana untuk tidak memberi komen tentang banjir.
Kita bukanlah hendak dilayan dengan cukup istimewa tetapi bantulah rakyat yang memilih anda ke Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Pemimpin tidak kira pembangkang atau kerajaan, carilah satu jalan agar masalah banjir yang parah ini dapat diatasi dengan berstruktur dan sistematik.
Badan kebajikan juga diharap mengurangkan kerenah birokrasi dalam menyalurkan zakat dan bantuan kewangan. Permudahkan kaedah membantu rakyat dan segerakan mencari solusi agar banjir tidak berulang sementara cuaca masih panas.










