HIDANGAN Mi Jawa cukup popular di Sarawak dan Pulau Pinang. Keistimewaan terdapat pada menu ini sudah pasti ubi keledek yang menjadi kepekatan kuah mi.
Kuahnya juga lain daripada lain kerana menggunakan stok atau air rebusan daging, memberi rasa lemak dan manis semula jadi ubi keledek yang dicampur sebati.
Kali ini Seri kongsikan resipi Mi Jawa Sarawak oleh Pemilik Restoran Dapur Kak Siti (DKS), Siti Rahmah Abdullah.
Menu ini tidak lengkap jika tidak dimakan bersama bahan tambahan lain seperti hirisan daging, telur rebus, taugeh dan kacang tanah serta Sambal Lava DKS.
Resipi Mi Jawa Sarawak
Bahan-bahan:
400 gram keledek oren (dikupas dan direbus )
20 gram udang kering (rendam dan kisar)
4 ulas bawang putih (kisar)
2 biji bawang besar merah (kisar)
1 inci halia (kisar)
500 gram daging bahagian kerapen (isi campur lemak)
1 bungkus mi kuning
Sedikit serbuk perasa
Sedikit garam
Cara-cara penyediaan:
1) Celurkan mi kuning dalam air mendidih dan ketepikan.
2) Rebuskan daging sehingga empuk. Keluarkan isi daging.
3) Panaskan minyak. Tumiskan semua bahan kisar seperti udang kering, bawang putih, bawang merah dan halia (jika nak pedas boleh tambah cili kering sedikit).
4) Setelah naik bau, masukkan bahan yang ditumis tadi ke dalam rebusan air daging.
5) Masukkan ubi keledek oren yang telah direbus dan dilecek ke dalam air rebusan daging.
6) Tambah sedikit serbuk perasa dan garam.
7) Perlahankan api dan kacau selalu sehingga mendidih.
8) Apabila masak, tutup api. Jika hendak lebih pekat lagi tambahkan isi ubi keledek yang sudah direbus dan dilecek.
Bahan lauk tambahan:
Hirisan daging
Telur rebus
Tauhu
Taugeh
Kacang tanah yang dikisar
Daun bawang dan daun sup
Sambal lava
Cara-cara penyediaan:
1) Letakkan mi kuning yang telah direbus ke dalam mangkuk, tambahkan kuah dan hiaskan dengan lauk tambahan mengikut citarasa.
Selamat mencuba!










