Warna gelap begitu sinonim dengan elemen misteri. Namun ia juga menonjolkan sisi lain pada karakter si penggemarnya.
Turut memperlihatkan nilai berani, mandiri, tegas selain pandai mengawal emosi, warna hitam atau gelap sebenarnya cantik dan tidak membosankan jika bijak bermain dengannya.
Memilih dekorasi dengan penegasan warna-warna gelap, Syafil Syazwan Jefri, 32, mencipta ruang apartmen tiga biliknya menggunakan konsep industrial namun praktikal.

Secara peribadi menganggap rumahnya seperti sebuah man cave Syafil mementingkan keselesaan ruang untuk menetap dan menikmati rehat, apalagi selepas penat pulang dari bekerja.
“Saya banyak merujuk pelbagai sumber antaranya majalah dekorasi, buku-buku, internet, media sosial termasuklah Instagram dan Pinterest.
“Saya juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar pereka dalaman yang dilantik iaitu Archicube Studio untuk memastikan hiasan dalaman rumah kena dengan konsep dan pada masa sama, praktikal,” katanya.
Paling menggemari ruang tamu, Syafil memberi tumpuan penuh dengan gaya yang sesuai kerana baginya ia merupakan ruang utama.
“Saya banyak habiskan masa untuk berehat menonton Netflix dan kadangkala, menyiapkan tugasan memandangkan saya banyak bekerja dari rumah.
“Selain itu, ruang tamu saya juga bersambung dengan balkoni yang saya terapkan sedikit konsep tropika. Jadi, ada elemen alam dan pada masa sama bergabung dengan industrial,” katanya.

Orang bujang harus kreatif
Membeli rumah tersebut empat tahun lalu, bagi Syafil, tiada salahnya jika orang bujang sepertinya juga mencurah minat berdekorasi apalagi dengan lambakan kemudahan rujukan secara atas talian kini.
Malah, dia bersetuju dengan idea di mana orang bujang juga mencurah minat berdekorasi sekali gus mendidik diri untuk lebih disiplin dan kemas.
“Selalunya, wujud persepsi rumah bujang itu adalah rumah yang mungkin nampak tak kemas. Tetapi, bagi saya, orang bujang hari ini sudah kreatif dalam menyusun atur dan menghias rumah.
“Tak perlu terlalu kompleks, asal memberi keselesaan kepada diri sendiri sudah mencukupi,” katanya.
Kongsi jejaka berasal dari utara ini, bajet juga menjadi satu hal yang subjektif dalam dunia dekorasi kerana ia terkait rapat dengan selera dan minat masing-masing.
Namun baginya, setiap item yang dipilih untuk elemen hiasan di rumah tentunya punya nilai tersendiri yang tidak cuma ada pada harga, tetapi juga dalam aspek kepuasan dan sentimental buat pemilik.










