Fungsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) secara dasarnya ialah untuk menjadi unsur tetap dan penting dalam sistem pertahanan negara yang berpaksikan kepada undang-undang sedia ada.
Bagaimanapun, sejak dilantik menjadi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri, bahagian dan daerah kira-kira enam tahun lalu, fungsi dan peranan agensi tersebut telah diperluaskan.
APM kini menjadi antara organisasi yang terpenting dalam menguruskan pelbagai situasi termasuk bencana, kecemasan dan darurat di negara ini.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya peranan yang dimainkan oleh mereka dalam membantu kerajaan menangani Covid-19 pada ketika ini dilihat wajar mendapat pengiktirafan yang sepenuhnya.
Selain terlibat dengan segala pengoperasian dan pentadbiran sepanjang berlakunya pandemik ini, APM juga secara tidak langsung berperanan meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi pelbagai bencana.

Bagi Pegawai Pertahanan Awam (PA) daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Kapten Mohd. Fadhil Fahmi Zaini, usaha mendidik dan menyedarkan komuniti tentang kepentingan pengurusan bencana ini perlu dilakukan secara berterusan.
Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun khususnya dalam bidang pengoperasian APM berkata, perkara itu menjadi antara visi utamanya ketika diberi tanggungjawab mengetuai APM SPT kira-kira enam bulan yang lalu.
Menurut anak kelahiran Guar Perahu, Bukit Mertajam itu, selain melakukan penstrukturan semula organisasi ke arah usaha menggembleng komuniti yang lebih cakna dalam pengurusan bencana, pihaknya juga dalam proses menubuhkan pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT).
“Ia akan ditubuhkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya yang akan diketuai oleh wakil rakyat di kawasan itu sendiri.
“Tujuan utama kita tubuhkan CDERT ini untuk memastikan masyarakat atau mereka yang terjejas seperti mangsa banjir dan sebagainya mendapat bantuan awal daripada pasukan ini.
“Pasukan ini akan dilatih oleh anggota APM dalam ilmu-ilmu pertahanan awam termasuk berkaitan kerja-kerja menyelamat, bantuan kecemasan, pertolongan cemas, pengendalian bot, pemakaian jaket keselamatan dengan betul dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mohd. Fadhil Fahmi berkata, dalam masa yang sama, pihaknya juga berhasrat meletakkan seorang anggota APM di setiap kawasan DUN untuk bertindak sebagai pegawai perhubungan awam.
Mereka akan menyelaras dan membantu para penghulu atau ketua kampung di peringkat komuniti dalam melaksanakan gerak kerja berkaitan pengurusan bencana ini.
Menyentuh mengenai peranan yang dimainkan APM SPT khususnya sepanjang pandemik ini pula katanya, mereka diberi tanggungjawab untuk melakukan rondaan, tinjauan dan pemerkasaan komuniti melalui Agen Basmi Covid-19 selain melakukan penghantaran bakul makanan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.
“Selain itu, APM juga memainkan peranan penting dalam membantu melancarkan pengoperasian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan membantu pihak berkuasa mengawal pergerakan rakyat di SJR (sekatan jalan raya).
“Kami juga membantu menyelaraskan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan memperkasakan pengoperasian PPV Bergerak,” jelasnya.

Selain itu, APM turut diberi tanggungjawab menguruskan jenazah pesakit Covid-19 bersama anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta menyalurkan bantuan ketika Taman Nagasari di Bukit Mertajam berdepan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), sebelum ini.
“Pendek kata, APM khususnya di SPT telah memainkan peranan secara menyeluruh dalam membantu kerajaan menangani pandemik Covid-19 hingga ke hari ini,” katanya.
Menurut Mohd. Fadhil Fahmi, ketika ini, APM SPT diperkuatkan dengan kehadiran kira-kira 80 anggota terlatih beserta beberapa aset logistik termasuk tujuh bot dana lori.
“Sekiranya SPT dilanda bencana yang besar, kita biasanya akan dibantu oleh APM daripada daerah berjiran serta beberapa negeri seperti Kedah, Perak, Perlis dan Selangor.
“Kekuatan logistik kita memang agak kecil. Jadi, kita memerlukan bantuan logistik serta kekuatan anggota daripada APM lain jika keadaan memaksa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya dalam proses untuk mengemas kini data berkaitan banjir serta kawasan hotspot bencana itu di SPT ketika ini.
Mahu penglibatan semua kaum
Ketika ini, penyertaan dalam APM di hampir semua lokasi di seluruh negara boleh dikatakan didominasi oleh satu kaum sahaja iaitu Melayu dan bumiputera.
Hal ini juga tidak terkecuali buat APM SPT apabila hanya sebanyak empat peratus penyertaan direkodkan daripada kaum Cina manakala kaum India pula sekitar dua peratus dengan selebihnya dimonopoli oleh kaum Melayu.
Sehubungan itu, Mohd. Fadhil Fahmi menggesa agar semua kaum mengambil peluang untuk bersama APM yang kini bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Penglibatan semua kaum ini penting agar gerak kerja dalam APM dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan efisien,” katanya.

Beliau pernah bertugas di Kedah dan Perak sebelum kembali menabur bakti di negeri kelahirannya iaitu Pulau Pinang.
Dalam pada itu katanya, masyarakat dinasihatkan supaya turut bersiap sedia bagi menghadapi perubahan angin monsun atau musim tengkujuh yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja seperti yang berlaku pada setiap penghujung tahun sebelum ini.
“Sentiasalah bersiap sedia untuk mengikuti segala arahan pihak kerajaan termasuk yang dikeluarkan melalui media sosial dan sebagainya jika berlaku banjir dan sebagainya.
“Kalau boleh, sediakan bersama satu ‘beg kecemasan’ yang mengandungi dokumen-dokumen penting beserta ubat-ubatan dan barangan berharga yang lain jika diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih selamat nanti,” ujarnya.











