100 hari: Jangan mudah puas hati - Utusan Malaysia

100 hari: Jangan mudah puas hati

SASARAN kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini berjaya dicapai. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Angka 100 hari bukanlah suatu tempoh yang panjang dan mencukupi untuk menilai pencapaian dan prestasi sesebuah kerajaan terutamanya apabila rakyat meletakkan harapan dan sandaran tinggi melalui pelbagai petunjuk prestasi utama (KPI). Namun, kita teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan prestasi keseluruhan bagi tempoh 100 hari pentadbiran jemaah menteri berjaya mencapai sekitar 90 peratus.

Prestasi yang boleh disifatkan cukup membanggakan dalam tempoh 100 hari itu membuktikan iltizam dan komitmen kerajaan dalam memulihkan ekonomi, membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat terutama dalam menghadapi tempoh pasca pandemik Covid-19. Secara umumnya, sebanyak 140 sasaran ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut membabitkan 31 menteri daripada lima kluster iaitu Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

Dalam merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia ini, kerajaan menggariskan enam teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari, iaitu menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan sosial, mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Antara pencapaian yang wajar dibanggakan dan memberi manfaat besar serta langsung kepada rakyat ialah sasaran kerajaan untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini berjaya dicapai, selepas 500,257 pencari kerja sudah berjaya memperoleh peluang pekerjaan menerusi 27 inisiatif diperkenal kerajaan setakat 3 Disember lalu. Pencapaian ini banyak dipacu menerusi inisiatif utama diperkenal kerajaan sebelum ini iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).

Pada masa sama, sebagai inisiatif untuk membantu rakyat memiliki rumah, dalam tempoh 100 hari ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar membina 800 unit rumah dengan status kemajuan sekurang-kurangnya 75 peratus siap yang memberikan manfaat kepada 4,000 isi rumah. Program ini turut membaik pulih 10,000 unit rumah dengan status kemajuan 100 peratus siap yang memberikan manfaat kepada 50,000 isi rumah melalui inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bina Baharu dan Baik Pulih.

Kerajaan juga melancarkan inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia) yang disediakan untuk mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Melalui projek ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyediakan 2,177 unit kediaman untuk ditawarkan selama dua tahun pada kadar sewa minimum RM124 sebulan dengan insentif pengecualian sewaan selama enam bulan, untuk meringankan beban kewangan penerima manfaat.

KENAIKAN HARGA

Banyak lagi kejayaan direkodkan dalam tempoh 100 hari dan kini harapan besar kita ialah agar kerajaan dapat mengekal dan meneruskan momentum prestasi 100 hari tersebut. Hal ini kerana masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membangunkan rakyat dan negara daripada impak krisis ekonomi serta kesihatan dicetuskan oleh wabak.

Justeru, kita berharap semua kementerian tidak mudah berpuas hati dengan rekod pencapaian 100 hari seperti yang dibentangkan sebaliknya perlu terus melipatgandakan usaha bagi merangka pelan tindakan serta melaksanakan pelbagai lagi inisiatif tambahan yang boleh memberi manfaat langsung kepada kehidupan rakyat.

Ironinya, pada hari ini rakyat masih dibelenggu dengan pelbagai isu asas sehingga mengganggu kehidupan seharian. Antara yang paling ketara sekarang ialah isu kenaikan harga barang keperluan harian termasuk sayur dan ayam.

Ini menyebabkan kos sara hidup dan perbelanjaan harian rakyat terus melonjak naik berlipat ganda. Maka kita berharap akan ada tindakan dan langkah tegas serta proaktif secara berterusan bagi menangani masalah kartel, pemborong mahupun orang tengah yang menguasai pasaran dan mengawal harga barangan sehingga menzalimi rakyat.

Dalam konteks sama, kita juga mahu kerajaan terus berusaha untuk membantu rakyat meningkatkan pendapatan isi rumah yang terjejas teruk akibat pandemik. Misalnya, berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan 2020, purata pendapatan kasar bulanan isi rumah pada peringkat nasional menurun kepada RM7,089 pada tahun itu berbanding RM7,901 pada 2019. Ini ditambah masalah jurang pendapatan cukup ketara antara pendapatan isi rumah di bandar dan luar bandar.
Pendapatan isi rumah menurun juga boleh dikaitkan dengan situasi pasaran buruh di negara kita walaupun menunjukkan trend pemulihan. Namun, ia masih berlaku pada kadar perlahan. Akibatnya, negara merekodkan bilangan penganggur seramai 705,000 orang pada Oktober lalu.

Di samping itu, seramai 1.87 juta orang pekerja dengan pencapaian kelulusan tinggi didapati bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah, iaitu dengan gaji lebih rendah daripada kelayakan mereka. Ini menunjukkan masih banyak perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar pengangguran, meningkatkan pendapatan terutama gaji minimum serta memulihkan pasaran buruh melalui penstrukturan lebih menyeluruh.

Oleh yang demikian, kita berharap Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang dibentangkan tidak akan terhenti setakat ini. Sebaliknya, jadikanlah prestasi cemerlang itu sebagai sumber inspirasi dan suntikan motivasi untuk terus menzahirkan budaya kerja berprestasi tinggi pada sepanjang masa.

Hakikatnya, inilah kerajaan yang menjadi harapan dan sandaran rakyat dalam konteks menstabilkan situasi politik, memulihkan ekonomi negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×