PETALING JAYA: Banjir di enam negeri dijangka bertambah buruk manakala beberapa negeri lain turut diramal mengalami nasib yang sama jika keadaan sekarang berterusan lagi ekoran fenomena Lekukan Tropika yang menyebabkan taburan hujan tinggi.
Setakat pukul 4 petang, semalam sebanyak 6,479 mangsa daripada 2,898 keluarga di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang diarah meninggalkan kediaman masing-masing untuk ditempatkan di 117 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Selangor setakat ini mencatatkan 3,084 orang diikuti Kelantan (1,365), Pahang (1,167), Melaka (288), Negeri Sembilan (327) dan Terengganu (248) dan jumlah tersebut dijangka bertambah jika hujan berterusan.
Sehingga semalam, hanya seorang mangsa dilaporkan menjadi korban pertama banjir di Gambang, Pahang, kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Fredolin Tangang berkata, cuaca buruk dan hujan lebat di seluruh negara berpunca akibat Lekukan Tropika dan menyebabkan tekanan rendah yang sebelum ini bergerak dari Laut China Selatan menuju ke Semenanjung Malaysia.
Katanya, Lekukan Tropika itu berlaku ekoran Taufan Rai yang membadai selatan Filipina apabila fenomena berkenaan mengukuhkan angin timur laut yang bertiup ke kawasan Semenanjung Malaysia dengan membawa lembapan tinggi di kawasan pantai timur dan menentasi Semenanjung Malaysia.
Walau bagaimanapun kata beliau, cuaca buruk itu dijangka berakhir dalam tempoh 24 jam.
“Setelah melewati Semenanjung Malaysia, sistem tekanan rendah ini mengukuh apabila berada di Selat Melaka di mana penumpuan kelembapan dan hujan bertumpu di kawasan pantai Selangor.
“Walau bagaimanapun, lekukan ini menjadi lemah dalam masa 24 jam. Angin timur laut di pantai timur juga dijangka lemah apabila Taufan Rai sampai ke perairan Vietnam di mana ia akan menghadang tiupan angin timur laut ke Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi (Met) menjelaskan punca hujan lebat sejak kelmarin adalah kerana faktor luruan sejuk monsun dan sistem cuaca tekanan rendah yang mula terbentuk di Laut China Selatan.
Menurut Met, pada masa ini Monsun Timur Laut berada dalam fasa lembap dari November hingga Januari 2022 dan sistem cuaca tekanan rendah kemudian mula terbentuk.
“Sistem ini sudah mencapai tahap Lekukan Tropika dan telah memasuki Pahang pada lewat malam Khamis lalu. Pergerakan lekukan ini ke arah barat merentasi Semenanjung Malaysia dan menyebabkan peningkatan kelembapan dan berlakunya hujan lebat berterusan di hampir keseluruhan Semenanjung,” kata Met.
Met menambah, Semenanjung Malaysia berpotensi mengalami cuaca lembap sepanjang hari ini dan taburan hujan dijangka akan mula berkurangan apabila cuaca tekanan rendah itu semakin menjauhi rantau negara menuju Laut Andaman bermula 19 Disember.
“Pada masa sekarang, kawasan amaran hujan berterusan bahaya adalah di Selangor melibatkan daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat serta Kuala Lumpur,” katanya.
Met kemudian menasihati orang ramai untuk mengelakkan atau kurangkan melakukan aktiviti luar di laut sepanjang fasa lembap khususnya semasa amaran angin kencang dan laut bergelora pada masa kini dan disarankan sentiasa peka dan mendapatkan maklumat cuaca terkini. -UTUSAN ONLINE











