Sarawak milik siapa? - Utusan Malaysia

Sarawak milik siapa?

Nasib tiga ADUN Bersatu sama ada dicalonkan atau tidak bergantung kepada pucuk pimpinan parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sejumlah 1.213 juta pengundi akan membuat pilihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok yang menyaksikan 349 calon bersaing merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sepanjang 12 hari berkempen, pengundi dihidangkan oleh 10 parti bertanding berserta 30 calon Bebas dengan pelbagai janji termasuk untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran di Bumi Kenyalang terjamin dalam lima tahun akan datang.

Majoriti mudah di DUN Sarawak ialah 42 kerusi manakala majoriti dua pertiga adalah 55 daripada 82.

Kurang 24 jam sahaja lagi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kelihatan mendahului parti-parti lain dalam memikat hati pengundi menerusi siri jelajah kempen berupa program-program pembangunan yang masih diperlukan penduduk pinggir bandar, pedalaman dan hulu Sarawak.

Di sebalik kempen yang `sendu’ berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat akibat pandemik, hari mengundi awal Selasa lalu mencatat 89 peratus yang keluar, lebih tinggi berbanding 70 peratus pada 2016.

Ketika kempen memasuki hari terakhir, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus menjelajah kawasan pedalaman, melawat kampung-kampung, rumah panjang serta menaik taraf kawasan kepada daerah serta mengumumkan pelbagai insentif kepada penduduk.

Abang Johari menaruh keyakinan tinggi pengundi akan memilih GPS berdasarkan rekod pencapaian, integriti barisan pemimpin partinya dan keupayaan gabungan itu membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau menegaskan, pengundi harus mengambil pengajaran daripada tindak tanduk Pakatan Harapan (PH) menganaktirikan Sarawak semasa 22 bulan menjadi kerajaan Persekutuan.

Katanya, PH membatalkan pelbagai projek antaranya jambatan dan lebuh raya yang sudah pun diluluskan kerajaan sebelum ini, malah beliau terpaksa membayar wang pendahuluan RM1 bilion bagi melunaskan hutang dengan kerajaan Pusat.

“Tapi pelaksanaannya tak nampak juga dalam masa 22 bulan. Dilambat-lambatkan, sengaja atau tak sengaja. Tak tahulah, itulah keadaannya.

“Inilah masalahnya dengan PH. Banyak sekolah daif di luar bandar macam di Daro, saya buat (tubuhkan Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS) untuk gunakan biayai dana Sarawak, itulah masalah kita,” kata Abang Johari.

Di pihak pembangkang pula, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyeru pengundi supaya tidak memecahkan undi antara parti pembangkang, sebaliknya meminta pengundi memilih DAP supaya mereka dapat memainkan peranan efektif dalam sidang DUN.

“Kami (DAP) adalah pembangkang sebenar, tulen. Kami sudah tertubuh lama, mempunyai sejarah tersendiri dan sudah melalui siri pilihan raya,” katanya kepada akhbar ini.

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh pula menegaskan, partinya tidak akan sesekali bekerjasama dengan GPS, sebaliknya percaya pengundi mahu PSB menggantikan GPS sebagai kerajaan baharu di Sarawak.

“Sebagai permulaan selepas (kalau) menang nanti, kami akan membatalkan perwakilan kuasa daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kepada ketua menteri supaya benar-benar bebas,” kata Soon Koh merujuk manifesto PSB.

GPS menjadi satu-satunya parti yang bertanding di semua 82 kerusi di PRN kali ini.

Dua lagi parti yang meletakkan calon terbanyak ialah PSB di 70 kerusi manakala Parti Bumi Kenyalang, 73 calon.

PH meletakkan 62 calon, namun masing-masing menggunakan logo sendiri iaitu DAP di 26 kerusi, PKR (28) dan Amanah (8).

Tiga parti tempatan turut bertanding ialah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (15 calon) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11) dan Parti Sedar Rakyat Sarawak (lima) manakala Pas hanya menampilkan seorang calon selain Bebas (30).

Persaingan sengit PRN12 ini menyaksikan pertandingan antara dua hingga lapan penjuru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×