Nasib doktor kontrak diumum minggu depan - Utusan Malaysia

Nasib doktor kontrak diumum minggu depan

Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan diperincikan sebagai maklum balas kepada tuntutan dikemukakan Sekretariat Doktor Hartal Kontrak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung penyelesaian isu doktor kontrak melibatkan permohonan lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan yang berlarutan sejak lima tahun lalu akan diumumkan minggu depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pengumuman tersebut dibuat selepas isu doktor kontrak dibawa kementeriannya ke dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

“Kementerian Kesihatan sudah berusaha di peringkat tertinggi, sudah bermesyuarat, mengadakan sesi libat urus dan yang terkini sudah membuat bengkel dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

“Dalam minggu depan, awak akan tahu. Biar menteri yang umum,” kata beliau ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, dalam bengkel yang diadakan bersama beberapa pihak berkaitan, semua isu berkaitan doktor kontrak dibincang secara teliti.

“Sudah pasti sewaktu bengkel, kita bincang sedalam-dalamnya tentang keperluan doktor kontrak, masalah dan sebagainya. Harap semua bersabar. Benda yang kami sebut kita akan buat,” katanya lagi.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, mereka akan menunggu berita yang bakal diumumkan itu dan berharap kementerian dapat menyelesaikan masalah mereka.

“Setakat ini isu hartal konsisten, kami inginkan satu penyelesaian daripada kementerian atau kerajaan. Satu penyelesaian yang merangkumi solusi jangka pendek dan jangka panjang terhadap isu ini,” katanya.

Menurut beliau, pada masa ini ramai doktor kontrak yang memilih berhenti untuk berpindah ke sektor lain.

“Hartal tidak rugi, doktor juga tidak akan rugi. Doktor akan dapat mencari kerja dalam bidang lain. Yang rugi adalah rakyat dan negara, rakyat akan menderita jika doktor tidak cukup,” ulas beliau.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya 300 lagi daripada baki 23,000 doktor kontrak dijangka berhenti dalam masa terdekat jika permintaan mereka untuk diserap ke jawatan tetap tidak diselesaikan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, jumlah mereka yang akan berhenti itu membabitkan mereka yang bakal tamat kontrak dalam masa terdekat termasuk mereka yang sudah mendapat peluang dalam sektor swasta.

Menurut Muhammad , perkembangan itu merugikan sistem kesihatan awam apabila ramai bakat doktor muda yang sepatutnya mendapat peluang dalam kerajaan dinafikan hak mereka, malah untuk tahun ini sahaja, sudah kira-kira 500 doktor kontrak meletakkan jawatan kerana pelbagai alasan tetapi salah satunya permintaan mereka tidak diambil serius kerajaan.

Sebelum ini, Noor Azmi memberitahu, seramai 1,497 pegawai perubatan lantikan kontrak meletakkan jawatan atas pelbagai alasan sejak 2017 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, ia membabitkan 110 orang pada 2017, 168 orang (2018), 475 orang (2019), 511 orang (2020) dan 514 orang (dari Januari hingga 26 November 2021).

Alasan peletakan jawatan termasuk untuk menyambung perkhidmatan dalam sektor swasta, atas sebab peribadi, berkhidmat di badan berkanun, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berkhidmat di luar negara dan membuka klinik sendiri.

Dalam pembentangan Bajet 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan sejumlah RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

Kerajaan juga bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun.

Bagaimanapun, pengumuman itu belum menjawab persoalan dan penantian semua doktor kontrak mengenai pelantikan mereka secara tetap dalam kerajaan melalui sistem yang lebih telus seperti dilaporkan sebelum ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×