PETALING JAYA: Keciciran remaja dalam pendidikan faktor ramai belia terlibat dengan penggunaan dadah selain pengaruh rakan dan kemungkinan berlaku lambakan bahan tersebut dalam pasaran.
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, jika dilihat pada laporan akhbar, jumlah peningkatan itu berlaku semasa tempoh pandemik Covid-19 iaitu ketika golongan belia berada di rumah dan tidak melakukan apa-apa aktiviti selain berjumpa dengan rakan mereka.
“Oleh itu mereka mudah terjebak dalam dunia gelap itu, malah ada yang terlibat dengan penjualan sehingga sanggup berhenti sekolah selepas memperoleh beribu ringgit,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, MBM akan berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengadakan kempen kesedaran mengenai terhadap keburukan dadah di sekolah seluruh negara.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 903 penagih remaja berusia 13 tahun hingga 18 tahun dikesan AADK dalam tempoh dua tahun bermula 2019 hingga September lalu.
Daripada jumlah keseluruhan 57,465 orang yang ditahan, seramai 41,895 penagih berusia 19 hingga 39 tahun manakala baki 14,667 adalah mereka berusia 40 tahun ke atas.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, pasaran haram dadah perlu disekat bagi melindungi golongan belia daripada terus terjebak dalam kancah penagihan dadah yang akhirnya merugikan mereka.
Jelas beliau, kerajaan perlu bertindak bagi mengelakkan belia terlibat, apatah lagi mereka merupakan generasi pewaris negara..
“Sudah menjadi sifat dan lumrah mereka ingin mencuba benda baharu dan terpengaruh dengan rakan.
“Apatah lagi dadah mudah untuk diperoleh. Mengikut maklumat yang saya terima, punca lambakan dadah ini dikatakan akibat ketirisan dan rasuah yang berlaku di pihak penguatkuasaan, “ katanya. – UTUSAN ONLINE











