Aldrin Grame, kumpul duit sendiri siapkan kostum juara MGI 2021 - Utusan Malaysia

Aldrin Grame, kumpul duit sendiri siapkan kostum juara MGI 2021

Aldrin Grame mengangkat inspirasi Ulek Mayang dalam kostum seberat 50 kilogram ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia mencipta rekod membang­gakan apabila dinobat juara kategori Busana Kebangsaan Terbaik pada Miss Grand International (MGI) 2021, berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Miss Grand Malaysia, Lishalliny Kanaran tampil cukup meyakinkan di atas pentas peragaan sambil diiringi tujuh puteri.

Kostum membanggakan itu adalah sentuhan pereka fesyen kelahiran Sarawak, Aldrin Grame.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pereka muda ini memberitahu kostum itu diadaptasi daripada cerita rakyat Ulek Mayang.

Katanya, pakaian seberat 50 kilogram (kg) memaparkan keunikan kisah di sebalik busana ritual berasal dari negeri Terengganu. Ia turut dilengkapi dengan tujuh puteri pada bahagian belakang.

Keunikan itu sekali gus menyaksikan penampilan Lishalliny cukup unik berbanding peserta lain.

“Semasa di bangku sekolah dahulu saya selalu dengar lagu Ulek Mayang. Lagu ini selalunya digunakan sebagai persembahan pentas.

“Saya tahu bahawa ramai orang pernah mendengar lagu ini terutama di majlis keramaian. Jadi inilah peluang saya untuk kembalikan lagi memori zaman tersebut. Hasilnya, saya adaptasi dengan menghasilkan busana seorang pawang berwarna hitam dan emas dan tujuh puteri,” katanya.

Ulek Mayang ialah tarian tradisional Terengganu.

Lagunya juga sangat unik.Pada zaman dahulu tarian Ulek Mayang merupakan pemujaan semangat puteri yang merujuk kepada tujuh semangat laut.

“Semangat puteri ini sudah wujud dalam kalangan masyarakat Terengganu sebelum kedatangan Islam lagi dan ia berakar umbi dari kepercayaan animisme atau khurafat masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

“Namun begitu, upacara itu diubah kepada nyanyian selepas kedatangan Islam dan hanya ditarikan sebagai hiburan tanpa memasukkan unsur khurafat seperti mantera dan jampi,” katanya

Tambah Aldrin, kerjasama dengan MGM 2021 bermula apabila pihak MGM mengadakan pertandingan lakaran busana kebangsaan dalam talian pada Disember 2020 hingga Mac 2021 lalu.

“Pada mulanya, kostum saya dipilih untuk dipertandingkan di MGI 2020, namun Pengarah Kebangsaan MGM, Jude Benjamin menasihati saya untuk bersedia sahaja dengan persiapan busana kebangsaan tersebut bermula awal 2021.

“Beliau menyarankan saya untuk memulakan projek ini pada April 2021 agar jangka masa pembuatan busana kebangsaan tersebut dapat disiapkan dengan teliti, kemas dan gah untuk dipersembahkan di pentas antarabangsa ini.

“Jadi ini merupakan keputusan yang bernas bagi kedua-dua pihak bagi memudahkan perancangan dan persiapan bagi wakil MGM 2021,” jelas pereka memiliki kepakaran dalam mereka busana pengantin ini.

MGI bertujuan memberi kesedaran dan mewujudkan keamanan serta menghentikan peperangan.

Ia di bawah naungan Miss International International Organization oleh Nawat Itsaragrisil dan Yuphiyao Thaivisut, beribu pejabat di Bangkok.

Aldrin mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan menyudahkan kostum berkenaan daripada memilih material sesuai, rangka besi, hinggalah ke menyiapkan badan tujuh patung puteri itu.

Mengulas mengenai cabaran, katanya, kewangan dan masa antara perlu ditangani dengan bijak.

“Kostum segah ini sudah tentu memakan perbelanjaan sangat besar jika mahukan hasil yang memukau.

BERKORBAN UNTUK NEGARA
“Saya sanggup berkorban demi negara untuk merealisasikan kostum ini. Setelah banyak kali saya cuba mendapatkan sedikit dana daripada beberapa Yang Berhormat (YB) tetapi tiada jawapan yang diberikan.

“Hanya berbekalkan sedikit kewangan daripada perniagaan saya, saya cuba perlahan-lahan mengumpul dana sendiri dan akhirnya saya mendapat sokongan kewangan dari beberapa individu yang murah hati di saat-saat akhir,” katanya.

Berat dan saiz kostum juga antara cabaran perlu ditangani kerana sistem pembungkusan kapal terbang mempunyai sukatan tertentu. Jadi dia perlu menyiapkan kostum itu mengikut berat diberi agar setiap bahagian mudah dipisah dan dipasang bagi mengelakkan kos berlebihan untuk bagasi. “Sebanyak 50 peratus material kain renda, batu dan kaca permata, 20 peratus material dari foam, 20 peratus material gabus dan 10 peratus besi.

“Walaupun material besi sebanyak 10 peratus, tetapi sebenarnya material inilah penyumbang berat terbesar jika dibandingkan bahan lain,” katanya yang menyatakan busana itu memakan belanja RM20,000.

Mengenai pengalaman itu, katanya, pada mulanya beliau sendiri tidak yakin kerana selama ini Malaysia hanya mempamerkan kostum yang ringkas, minimum dan senang dibawa.

“Namun kali ini saya memberanikan diri untuk melakar fenomena di arena ratu cantik dengan mempersembah kostum berkelas dunia dan terbesar dalam sejarah ratu cantik yang pernah dipersembahkan oleh wakil Malaysia,” katanya.

Berkongsi perancangan beliau pada 2022, Aldrin memberitahu, dia dan rakan kongsinya akan menganjurkan satu pertandingan ratu cantik dan sudah tentu akan menyelitkan segmen busana agar berpeluang menyaksikan bakat baru dan menghargai pereka tempatan.

“Ini penting untuk kita menambah kenalan baharu serta memupuk minat pereka untuk berkongsi perspektif mereka melalui rekaan yang ditampilkan.

“Platform ini adalah harapan kita dalam memastikan budaya tempatan tidak ditelan zaman. Pada masa sama meningkatkan lagi kesedaran tentang kebudayaan yang kita miliki,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×