Pas persoal kenapa UMNO boleh sertai PN, tetapi kini tolak Bersatu - Utusan Malaysia

Pas persoal kenapa UMNO boleh sertai PN, tetapi kini tolak Bersatu

AHMAD FADHLI SAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pas, mempersoalkan mengapa UMNO sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu jika benar-benar menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika ‘luka’ Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan UMNO tidak boleh menerima parti itu, maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut ditunjangi UMNO tidak seharusnya wujud.

“Jika ditinjau dari sudut kronologi, UMNO dan Pas kedua-duanya telah bersepakat untuk menjemput Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN). Timbalan Presiden UMNO berhujah, “salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang PH. Bersatu adalah komponen PH waktu itu.” 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ya benar, namun tidakkah kita lupa bahawa Bersatu inilah yang akhirnya meninggalkan PH dan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang sama-sama kita tubuhkan pada Februari 2020. Jika luka kerana Bersatu menjadi sebahagian daripada PH itu sangatlah besar untuk dilupakan, kenapakah UMNO sanggup menjadi sebahagian daripada kerajaan yang dipimpin Muhyidin ketika itu?” soalnya lagi dalam satu kenyataan. 

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini berkata, matlamat penubuhan MN tidak menyebut Bersatu perlu menjadi sebahagian daripadanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, jelas Ahmad Fadhli, Pas tidak mahu membolot sebarang keuntungan tanpa memikirkan penyatuan umat. 

“Secara logiknya, jika hanya Pas dan UMNO sahaja dalam MN, sudah tentu kek yang akan ‘dinikmati’ oleh Pas lebih besar berbanding dengan menerima satu lagi tetamu bernama Bersatu. 

“Namun, itu bukan matlamat Pas. Matlamat Pas ialah untuk memperkuatkan muafakat ummah ini dengan memperluaskan lagi keanggotaan di dalam MN,” ujarnya lagi. 

Beliau dalam masa yang sama turut menolak laporan yang memberi gambaran seolah-olah Pas menolak UMNO, sebaliknya parti Islam itu mahu rundingan diteruskan supaya UMNO dan Bersatu menyedari untuk menerima antara satu sama lain. 

Dengan kerjasama itu, jelas Ahmad Fadhli, ia dapat mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

“Kenyataan Presiden Pas yang dikeluarkan di dalam sidang media yang dirujuk oleh Timbalan Presiden UMNO itu langsung tidak bernada menolak MN  seperti yang ditulis oleh media. Bahkan ia lebih kepada mengajak UMNO untuk kembali duduk semeja berbincang bagaimana untuk memperkasakan MN. 

“Jika masing-masing membelek kronologi demi kronologi, sampai bilapun kita tidak akan bersepakat. Hakikatnya, UMNO perlu belajar menerima Bersatu dan tentu sekali, Bersatu juga perlu belajar untuk menerima UMNO. Jika tidak, muafakat ummah seperti yang diangkat oleh Tan Sri Presiden Pas  itu tidak akan berjaya,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN