PASIR PUTEH: Paku, video pendek karya enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut, di sini dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Video Global Panasonic KWN 2021 yang berlangsung di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Video menggunakan paku payung, bongkah kayu dan tukul sebagai objek utama itu berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menewaskan 119 lagi negara lain yang turut menyertai pertandingan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammad Zaim Aiman Kamaruddin, 17, selaku pengarah berkata, Paku diumumkan sebagai juara dunia dalam sidang video secara langsung dari Tokyo, Isnin lalu.
Katanya, Paku berjaya mengetepikan tiga saingan utama di peringkat akhir iaitu Brazil, Vietnam dan wakil tuan rumah sendiri, Jepun.
“Kejayaan ini hasil usaha bersama rakan, Muhamad Alif Ikhwan Mohd. Nawi, 17, sebagai penulis skrip, Dennish Wi Ssa, 16, sebagai jururakam serta tiga pelakon Ahmad Zuhilmi Hazani, 16, Putera Syazmie Mohd. Azmi, 17 dan Mohamad Ammar Baihaqi Mohamed Azmadi, 17,
“Sebagai hadiah kemenangan, kami sepatutnya terbang sendiri ke Tokyo untuk menerima trofi dan sijil, selain bercuti di sana selama tujuh hari dengan semua kos ditaja sepenuhnya oleh penganjur. Namun disebabkan kekangan pandemik, ia tidak kesampaian.
“Kami juga dinobatkan sebagai pemenang Kids Choice Award dan Fan Choice Award. Kesemua hadiah kemenangan akan diposkan kemudian kepada para pemenang,” katanya ketika ditemui di SMK Tok Janggut, di sini semalam.
Menurut Mohammad Zaim, Paku berdurasi lima minit diinspirasikan daripada kisah benar mengenai tekanan perasaan dihadapi seorang pelajar yang menjadi mangsa buli di sekolah sehingga membawa kepada tindakan bunuh diri.
“Paku adalah perlambangan kepada tusukan yang menyakitkan manakala tukul adalah tindakan yang menyebabkan kesakitan itu. Bongkah kayu pula adalah perlambangan untuk hati yang cedera dan berparut kerana menyimpan 1,001 pahit maung.
“Video Paku dihasilkan dalam tempoh tiga hari menggunakan kamera SLR jenama Nikon D5300. Usaha ini turut mendapat sokongan Pengetua, Che Alias Che Embong dan guru penasihat Mohamad Faiz Yaakob,” katanya. -UTUSAN










