Biarlah dikenali kerana integriti - Utusan Malaysia

Biarlah dikenali kerana integriti

BAHANA rasuah secara umumnya meruntuhkan integriti masyarakat dan mencemar kedaulatan negara di mata dunia. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDAR atau tidak, tahukah anda? Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) disambut pada 9 Disember setiap tahun oleh pelbagai lapisan masyarakat dunia. Kronologinya, pada 31 Oktober 2003, Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Disember sebagai HARA bagi mempertingkatkan kesedaran tentang rasuah dan kesan buruk terhadap perlakuan rasuah.

Saban tahun, tema HARA akan dikenalpasti. Kali ini, Your right, your role: Say no to corruption atau Hak anda, peranan anda: Katakan tidak kepada rasuah menjadi tema pilihan PBB.

Ironinya, tema ini sangatlah sinonim dalam menyerlahkan hak, keterlibatan dan akauntabiliti semua masyarakat termasuk negara dalam usaha memastikan dan memerangi rasuah sebagai madah perjuangan tanpa noktah.

Bagi merealisasikan inisiatif ini, pengenalan kepada dasar, sistem dan langkah perlu disediakan sebagai platform kepada orang ramai agar dapat bersuara dan mengatakan tidak kepada rasuah. Konvensyen PBB menentang rasuah sentiasa menekankan dan memfokuskan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan perlindungan pemberi maklumat yang berkesan bagi memastikan orang yang bersuara dapat dilindungi daripada tindakan balas.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) merupakan satu akta untuk menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain. Akta ini akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan memudaratkan akibat pendedahan dibuat.

Langkah-langkah ini secara langsung menyumbang kepada ketelusan dan ketulusan institusi serta bertanggungjawab ke arah pembudayaan integriti dan keadilan. Sudah pasti di sebalik pengambilan rasuah ini akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada diri sendiri, keluarga, agama dan negara.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan ahli masyarakat kadang-kadang bersikap alpa dan terlupa mengenai bahaya rasuah apabila melihat habuan yang bakal diperoleh hasil aktiviti tidak sihat. Rasuah tidak akan sama sekali berlaku sekiranya pemerkasaan integriti dan tadbir urus sentiasa diambil peduli dan menjadi agenda utama prinsip kehidupan seseorang tanpa mengira bangsa, agama dan kaum.

Pemantapan budaya integriti tinggi ini juga akan memberikan faedah kepada kita semua agar sentiasa dihormati oleh masyarakat dalam menjalankan tugas dengan jujur dan amanah bagi memastikan sesuatu kerja berjalan lancar mengikut matlamat ditetapkan.

Kini, salah laku rasuah semakin rancak dan seolah-olah menjadi pandemik yang menular dalam semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum, agama mahupun usia. Tidak hairanlah, sekiranya salah laku rasuah dianggap sebagai jalan pintas untuk menjadi kaya.

Ini kerana isu rasuah bukanlah masalah baharu di Malaysia sebaliknya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan merencat pembangunan negara.

Bahana rasuah secara umumnya meruntuhkan integriti masyarakat dan mencemar kedaulatan negara di mata dunia.

Oleh itu, membanteras salah laku rasuah ini bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, ramai ambil ringan dan menganggap sekecil-kecil pemberian hadiah sebagai tanda penghargaan atau bahasa mudah, hanya sekadar mengenang budi. Walhal, amalan tersebut merupakan salah laku yang kini dilihat sebagai rutin dan diamalkan oleh semua golongan.

Jika dilihat salah laku rasuah dalam konteks sosial, ramai berpandangan rasuah ialah satu budaya yang tidak sihat. Budaya itu sebenarnya boleh dihakis sekiranya semua golongan menerapkan nilai-nilai murni dan integriti tinggi dalam diri.

VAKSIN

Naluri manusia mendambakan kejayaan dan keseronokan berbanding kehidupan cukup-cukup makan. Budaya sebegini menjadi motif utama tercetusnya bahana rasuah.

Perspektif atau sikap individu terhadap rasuah adalah berbeza-beza bergantung kepada darjah kepuasan. Jika matlamat kekayaan dan kemewahan segera menjadi agenda utama, maka mudahlah untuk cenderung melakukan salah laku rasuah.

Selain itu, adaptasi norma baharu yang menganggap masyarakat kini sebagai survivor. Tidak hairanlah jika ramai menyogok untuk meraih kehidupan sempurna angkara wabak Covid-19.

Pihak berkuasa memandang serius sebelum ini ada dakwaan berlakunya kegiatan merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin. Jika ia benar-benar berlaku, perbuatan tersebut bukan sahaja menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan malah mencalarkan imej mereka.

Namun, adakah wabak ini punca kepada segala korupsi? Di mana letaknya integriti sehinggakan mata dikaburi dengan sogokan sejurus menjadikan rasuah sebagai sumber rezeki utama? Jawapannya, tepuk dada tanyalah iman.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 amat mengejutkan kita semua dengan merekodkan pembaziran sebanyak RM285 juta. Ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan pula menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.1 juta pada 2020.

Daripada RM510.6 juta pembayaran tidak teratur, RM499.2 juta membabitkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan. Sementara itu, daripada RM104.8 juta kerugian wang awam, RM81.7 juta adalah penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen manakala pembaziran RM4.8 juta membabitkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang.

Senario ketirisan ini bukanlah sesuatu yang enak didengar, bahkan memburukkan nama baik negara di peringkat global. Ini jelas mencerminkan Malaysia lemah dalam sektor penguatkuasaan, pemantauan dan tadbir urus kewangan.

Sebagai sebuah agensi peneraju utama yang diamanahkan untuk membudayakan integriti, Institut Integriti Malaysia (IIM) akan terus mendidik Keluarga Malaysia bagi memantapkan integriti dan menangkis salah laku rasuah. IIM memegang mandat badan operasi membantu sektor awam dan swasta membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), iaitu dokumen dasar antirasuah dalam usaha membanteras salah laku rasuah seiring memartabatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam organisasi.

IIM juga merupakan Ketua Peneraju seperti termaktub dalam Laporan Semakan Semula Separuh Penggal Pelan Antirasuah Nasional (2019-2023) iaitu mempromosi, membangun dan menyediakan latihan bagi pelaksanaan Tatacara Mencukupi selaras dengan Seksyen 17A (5) (Liabiliti Korporat) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) oleh organisasi komersial.

Salah laku rasuah haruslah segera diperangi habis-habisan. Integriti dijadikan teras utama kehidupan. Tiada jalan pintas, katakan tidak kepada rasuah, barulah Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuahnya.

PENULIS ialah Pengurus Besar Kanan, Bahagian Operasi, Institut Integriti Malaysia (IIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×