DUNIA dikatakan semakin pintar kerana perkembangan pesat segala bentuk ilmu. Malah lebih banyak peralatan dan peranti kini juga dikatakan pintar. Misalnya ada telefon bimbit pintar yang berupaya membuat perhitungannya sendiri tanpa ‘disuruh’ oleh pemiliknya. Kepintaran seumpama ini amat dialu-alukan kerana ia mempermudahkan lagi urusan seharian. Inilah yang dikatakan kehidupan pintar serba canggih.
Tidak lama lagi akan ada kereta pintar yang dipandu sendiri. Yakni tanpa bergantung kepada tenaga manusia dan oleh demikian dianggap lebih selamat serta cekap.
Kebiadaban lalu lintas serta jalan raya dikatakan turut berkurangan, begitu juga kemalangan kenderaan kerana kadar kecuaian serta kesilapan terhapus dengan nyata.
Sudah tentu ini menguntungkan semua pihak.
Namun demikian, semuanya tidak dapat dibereskan begitu sahaja. Maksudnya, walaupun kepintaran terus meningkat, kedangkalan turut juga naik nampaknya. Tidak ada contoh lain sebaik apa yang dipertontonkan semasa pandemik untuk mengesannya dengan jelas.
Ambil sahaja pelbagai saranan daripada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sepanjang memerangi Covid-19 sebagai suatu kuasa besar dianggap paling pintar di dunia. Lebih umum lagi, gelagat ekoran penggunaan telefon pintar di dunia siber yang sering membawa berbagai kegusaran serta ketegangan tidak diundang.
Maka tularlah perkara-perkara remeh yang menjadi penyebab pergaduhan besar, bercerai-berai serta porak-peranda sesama sendiri. Slogan #kitajagakita sekali gus menjadi #kitamusnahkita! Tidak kira dari sektor apa sekalipun terutamanya melibatkan rebutan kuasa serta pengaruh. Apa yang jelas adalah kedangkalan terus memuncak dan melebar dengan membimbangkan.
Apatah lagi ia membayangkan kehilangan daya berfikir yang mendalam. Ini dikatakan ada kaitannya dengan keberadaan alat-alatan pintar dalam kalangan masyarakat amnya. Betapa tidak kerana ia turut memupuk suatu bentuk kebergantungan kepada alat-alat berkenaan sehingga menjumudkan tabiat berfikir yang penting dalam melayari hidup.
Umpamanya, tabiat sabar sebagai amalan yang penting berkaitan dengan peri laku berfikir selalunya tidak mendapat tempat kerana memakan masa. Lebih mendalam hal yang difikirkan, lebih banyak kesabaran perlu diamalkan. Yakni mengambil masa serta usaha yang bukan kepalang. Sekiranya tiada kesabaran, fikiran menjadi cetek lagi dangkal.
Dari segi usaha pula, tenaga yang digunakan untuk berfikir adalah lebih hebat daripada bekerja membanting tulang di bawah matahari terik. Maka tidak hairanlah ramai yang enggan berfikir dan lebih mudah tangkap muat bulat-bulat apa sahaja yang dihambur oleh alat atau mesin pintar berbanding memikirkannya secara lebih mendalam dan menganalisanya.
Dan tanpa ragu-ragu menjadikannya sebagai pedoman hidup seperti yang diuar-uarkan. Ataupun menolaknya sama sekali walaupun datangnya daripada seorang pemimpin negara termaju lagi pintar! Hal ini dicelarukan lagi dengan berbagai maklumat palsu, atau pembohongan tanpa rasa bersalah sama sekali.
Lambat laun amalan seumpama ini menjadi kelaziman dan hidup terus diperbodohkan melalui penggunaan sembarangan teknologi pintar. Anehnya, teknologi tersebut datangnya daripada benak manusia juga.
BODOH SOMBONG
Mengapa ini berlaku? Mengikut satu pendapat, kedangkalan adalah lebih bahaya daripada kedajalan! Ini memandangkan kedajalan boleh ditewaskan tetapi tidak begitu bagi kedangkalan. Kedajalan adalah suatu hasil pemikiran yang boleh dibawa berhujah mahupun berunding. Tetapi tidak sedemikian bagi kedangkalan kerana kecetekan pemikiran seperti yang dikatakan tadi.
Ia tidak boleh dibawa berunding apa lagi berhujah kerana kemuflisan pemikiran. Ia umpama mencurah air ke daun keladi. Tidak ada yang melekat, apatah lagi terkesan dibenak yang muflis.
Dunia kedangkalan akan terus tidak mempedulikan secara angkuh apa sahaja yang berlaku. Bak kata orang Melayu, bodoh sombong! Dan menjadi bertambah hebat apabila berada dalam sesuatu kelompok, pasukan atau parti. Memetik kata-kata Nietzsche: “Pada perseorangan, kegilaan agak jarang tetapi dalam kumpulan, parti, negara dan zaman, ia merupakan suatu peraturan.”
Dalam bahasa Inggeris, ini dipanggil herd mentality (pemikiran ikut-ikutan membuta tuli). Mereka ini cukup mudah dipengaruhi walaupun hujahnya tidak waras. Dalam satu kajian, sekitar 75 peratus anggota mengakui mengikut sahaja kehendak kelompok sekurang-kurang sekali akibat pelbagai tekanan termasuk rasuah.
Apa pun, kedangkalan sering menggalakkan lagi kedajalan kerana mengambil mudah sifat-sifat kedangkalan. Sikap dajal sememangnya tidak ingin melihat yang dangkal menjadi lebih pintar daripada mereka supaya mudah digula-gulakan untuk mengekalkan kuasa serta pengaruh melalui cogan kata, slogan serta mantera kosong yang diulang-ulang. Maka wujudlah puak aku-atau-dia. Satu puak akan cuba musnah yang lain – #kitamusnahkita! Kegilaan adalah kemuncak kemusnahan ini.
Hal ini bagaimanapun tiada kaitan dengan mana-mana kaum atau agama. Dalam sejarah ia didapati berlaku di mana sahaja sejak zaman berzaman. Hanya apabila berlaku, ia sering melibatkan golongan dajal yang memperkosai golongan dangkal tanpa kira bangsa, budaya atau agama. Dan yang dangkal pula rela diperkosai sebagai suatu bentuk penjajahan minda yang masih subur lagi segar.
Paling menakutkan adalah penunjuk akan memuncaknya aliran ini pada abad ke-21 dengan runtuhnya nilai benar akibat pemalsuan dan penipuan sejajar teknologi pintar tanpa roh. AS dikatakan contoh terbaik angkara muslihat politik antara mereka. Namun, seperti wabak Covid-19, ini tidak bermakna peristiwa seperti ini tidak boleh menjangkiti negara lain termasuk Malaysia. Maka masanya telah tiba untuk kita mengurangkan kemelut pemikiran sebaik mungkin demi menjayakan #kitajagakita sepenuh jiwa raga.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










