Cuba negara kecil berjiwa besar - Utusan Malaysia

Cuba negara kecil berjiwa besar

CUBA menghantar pasukan perubatan ke Sicily, Itali untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI nasib yang menimpa dunia Islam dan Afrika, negara-negara blok sosialis juga tidak terlepas daripada segala macam bentuk fitnah dan propaganda jahat Barat. Cuba, sebuah negara berkepulauan kecil yang terletak di Caribbean, turut tidak terkecuali terpalit dengan pelbagai kontroversi dan salah faham sejak lebih 60 tahun lalu.

Lebih malang, tidak mudah untuk mendapatkan maklumat tepat tentang negara berpaksikan fahaman Marxist-Lenin ini memandangkan media antarabangsa yang dipelopori Barat memonopoli media dunia dan tidak sesekali memberi peluang untuk seteru mereka bersuara.

Tinjauan saya terhadap beberapa rakyat tempatan juga menunjukkan ramai yang melihat dan mengenali Cuba menerusi kaca mata Barat seperti beranggapannya sebagai negara kuku besi serta mengancam kestabilan dunia. Lambakan buku-buku tentang dunia luar juga bersumberkan orientalis Barat yang kita pun sedia maklum sentiasa terdapat unsur-unsur fitnah dan tokok tambah.

Dalam mendapatkan gambaran lebih jelas tentang Cuba, saya menemu bual Charles Moreira, 67, seorang penulis dan pengkaji isu politik dan hal ehwal Cuba. Antara dakyah yang sentiasa berlegar dalam masyarakat termasuklah dakwaan Cuba sebagai negara tertutup seperti Korea Utara.

“Keramahan diplomat Cuba terhadap kerajaan dan rakyat Malaysia jelas menafikan mitos yang dipromosi imperialis dan sekutunya. Selain diplomat, terdapat agak ramai rakyat Cuba seperti pemuzik, artis dan sebagainya yang bekerja dan tinggal di merata tempat termasuklah Malaysia,” katanya.

Saya tertarik untuk meneliti lebih lanjut tentang penyertaan Cuba di dunia. Hasil kajian itu, ternyata dakwaan songsang sedemikian meleset apabila sejarah mencatatkan rekod gemilang Cuba dengan program bantuan kesihatan dan perubatan antarabangsa.

Bayangkan, negara sekecil Cuba mampu menghantar sepasukan doktor ke lebih 100 negara sejak Revolusi 1959. Agensi media tempatan Cuba, Granma melaporkan, Cuba telah menghantar lebih 400,000 petugas perubatan profesional ke 164 negara terutama di Afrika dan Amerika Selatan.

Tahun lalu, sewaktu sistem perubatan dan hospital Itali berada di ambang kemusnahan akibat serangan Covid-19 yang terus mengganas tanpa tanda-tanda untuk berhenti, mereka memutuskan memohon bantuan paramedik daripada Cuba. Memetik laporan media Itali, Palermo, wilayah Sicily telah menghantar permohonan bantuan perubatan tersebut menerusi kedutaan Itali yang berpusat di Havana, Cuba.

Sicily yang sewaktu itu kekurangan doktor dan jururawat untuk merawat pesakit-pesakit Covid-19 memohon Cuba menghantar 60 petugas perubatan tambahan.

Permohonan tersebut sudah tentu diterima baik oleh Cuba.

Namun beberapa bulan sebelum itu, Cuba telah menghantar 216 petugas kesihatan ke Afrika Selatan. Apa yang dilakukan oleh Cuba ini sememangnya satu tamparan hebat buat Barat dan sekutunya.

Pada masa sama, Cuba telah menunjukkan satu contoh teladan yang baik tentang erti kemanusiaan dan tolong-menolong tanpa mengira latar belakang dan fahaman ideologi. Fakta yang perlu diketahui oleh pembaca juga, Pusat Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi Cuba berjaya menghasilkan beberapa jenis vaksin keluaran tempatan seperti Abdala.

KELUARGA CASTRO

Ujian vaksin Abdala yang dilihat mempunyai keberkesanan lebih 90 peratus dalam menghalang jangkitan Covid-19 mendapat permintaan sebanyak 12 juta dos oleh Venezuela pada 2020, diikuti Vietnam yang membeli 10 juta dos beberapa bulan lalu. Saya berharap Malaysia dapat menerokai dunia perubatan Cuba dengan lebih mendalam agar kita dapat mencedok ilmu berguna daripada mereka.

Antara tuduhan tidak berasas lain terhadap Cuba adalah negara tersebut merupakan milik keluarga Castro.

“Tuduhan yang tidak benar sama sekali. Jika begitu, Miguel Mario Díaz-Canel Bermúdez yang bukan sebahagian daripada keluarga Castro tidaklah akan menjadi Presiden Cuba hari ini,” soal Charles.

Menurut Charles, umum sedia maklum, Fidel Castro dan Raul Castro berjuang bersama-sama dalam Revolusi Cuba. Setelah Fidel meletak jawatan pada 2008, Raul diangkat sebagai Presiden Cuba.

Namun, Diaz-Canel yang tidak mempunyai apa-apa pertalian darah dengan keluarga Castro terpilih sekali gus menamatkan era pemerintahan keluarga Casto. Ini sekali gus membuktikan Cuba bukanlah sebuah negara diktator dan dikawal oleh sesebuah pihak sahaja.

Hanya kerana Justin Trudeau adalah Perdana Menteri Kanada hari ini sementara bapanya Pierre Trudeau merupakan Perdana Menteri dari akhir 1960-an hingga 1984, adakah itu bermakna Kanada kepunyaan keluarga Trudeau? Soalan sama boleh ditanya pada George Herbert Walker Bush dan anaknya, George Walker Bush. Begitu juga Lee Kuan Yew dan Lee Hsien Loong, Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Tun Razak, Gloria Macapagal Arroyo dan Diosdado Pangan Macapagal, Rajiv Gandhi dan Indira Gandhi.

Sebenarnya masih banyak kebaikan dan contoh teladan Cuba yang perlu dikongsikan kepada masyarakat kita terutama perjuangan mereka dalam menentang segala bentuk imperialis Barat ke atas negara-negara Afrika dan Asia. Sosok-sosok hebat seperti Fidel dan Che Guevara perlu diangkat sebagai pejuang kebebasan dan keamanan dunia.

Jangan hanya disebabkan pegangan ideologi mereka tidak seiring dengan apa yang kita imani itu menyebabkan kita tidak mengadili mereka dengan sebetulnya.

Masyarakat perlu dipupuk dengan sikap suka mengkaji dan mengembara kerana dengan kedua-dua cara ini, kita akan menjadi lebih terbuka dalam pelbagai perkara, bijak membaca geopolitik dan paling penting, tidak mudah tertipu dengan dakyah jahat pihak-pihak tertentu.

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×