MN tidak semesti dengan Pas sahaja - Utusan Malaysia

MN tidak semesti dengan Pas sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MUAFAKAT Nasional (MN) yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 14 September 2019 melenyapkan perseteruan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.

Bagaimanapun, hala tuju MN yang jelas terumbang-ambing pada masa ini terutama selepas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam menimbulkan persoalan.

Apakah gagasan itu masih lagi mempunyai masa depan dalam politik negara atau Pas dan UMNO kembali berseteru di pentas politik seperti dahulu?

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI dan jurufoto, IQBAL HAMDAN di Pulau Pinang, baru-baru ini, veteran politik, TAN SRI MOHD. YUSOFF LATIFF menyuarakan pandangan mengenai gagasan MN, hala tuju UMNO dan Pas khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UTUSAN: Pada pandangan Tan Sri, masihkah ada masa depan untuk MN?
YUSOFF: Saya bercakap atas kapasiti sebagai veteran dalam politik. Saya juga ada rakan-rakan dalam Pas. Gagasan MN yang dicetuskan hasil daripada Piagam MN yang dimeterai semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019 merupakan satu amanah dan doa umat Islam yang mahu melihat penyatuan Pas dan UMNO.

Namun, selepas itu Pas menyertai Perikatan Nasional (PN) yang digerakkan oleh Parti Pribumi Melayu Bersatu (Bersatu) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin demi kestabilan politik negara.

Bagaimanapun, kita dapat lihat pimpinan Pas lebih rapat dengan PN berbanding MN. Apakah ia ada kaitan dengan kedudukan, habuan politik? Itu kita tidak tahu atau mungkin untuk kestabilan ummah, kita tidak tahu. Tapi dapat dilihat pada masa ini, Pas lebih mahu bersama PN sehingga melawan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

PRN Melaka menjadi penanda aras gagasan MN tidak lagi sesuai untuk dipertahankan oleh kedua-dua parti?
Keputusan UMNO untuk bertanding pada PRN Melaka adalah berpandu pada suara dan kehendak akar umbi yang tidak mahu bergandingan dengan Bersatu.

Ini kerana Bersatu merupakan mereka yang terdiri daripada individu yang menang dalam PRU sebelum ini atas tiket UMNO tetapi mereka khianat pada UMNO selepas itu.

Apabila keputusan menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dibuat untuk tidak lagi bersama Bersatu, pemimpin UMNO kena turutkan kehendak dan suara akar umbi.

Apa yang berlaku ketika PRN Melaka adalah satu ujian kepada MN di mana kita dapat lihat Pas bertindak melawan UMNO dan bermain politik di banyak kolam.

Adakah bermain di banyak kolam sehingga membelakangkan MN membuatkan Pas rugi?
UMNO menang dengan cukup selesa pada PRN Melaka. Pas bertanding juga tapi bukan atas tiket parti.

Pas sanggup korbankan lambang parti mereka dan gunakan lambang lain. Ini menghairankan sebenarnya, apa yang cuba Pas lakukan? Pemerhati politik dan ahli Pas sendiri jadi keliru. Kalau Pas kata mereka betul, kenapa mereka tidak bertanding atas nama dan parti sendiri?

Ada pihak menyatakan jika tidak bersama Pas, UMNO mungkin boleh mencipta jajaran politik baharu bersama parti-parti lain. Apakah ia boleh berlaku?
Politik ini seni serba mungkin. Permainan politik itu sendiri serba kemungkinan. Mungkin boleh berlaku (gagasan MN bersama parti lain) kerana kita mahu titik perpaduan ummah antara parti Melayu.

Apabila UMNO memutuskan untuk menyertai kerajaan Pusat, ia demi kestabilan politik negara kerana UMNO mengambil nasihat Yang di-Pertuan Agong yang mahu politik negara distabilkan.

Apabila bercakap soal prinsip pula, ahli-ahli UMNO tidak mahu wakil rakyat yang telah melompat. Mereka tidak akan diterima oleh akar umbi lagi.

Saya lihat MN adalah satu gagasan yang perlu didukung bukan sahaja UMNO dan Pas, tetapi parti Melayu lain, mungkin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah).

Apa perlu ada agar gagasan itu lebih dihormati lawan dan kawan politik?
Syaratnya, kesemua pemimpin yang terlibat dengan kluster mahkamah mesti dibersihkan. Ini hakikat yang UMNO perlu terima kerana ahli akar umbi pun mahu ini berlaku.

Pas perlu terima hakikat, UMNO adalah sebuah parti Melayu Islam yang mempunyai struktur dan asas kuat di peringkat akar umbi.

Sekiranya MN bersama dengan gabungan parti Melayu lain ketika PRU15 nanti menang majoriti Parlimen, perlu diingat, tidak ada kaum lain akan dianiaya. Ini adalah satu jaminan dan ia dibuktikan sebelum ini menerusi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Permainan politik Pas seperti pepatah Melayu, orang tamak selalu rugi?
Contoh terbaik yang sewajarnya memberi pengajaran kepada Pas adalah PRN Melaka, sampai calon Pas kalah di semua kerusi. Jika mereka (Pas) kekal bersama MN, mana tahu mereka boleh memang dan ia adalah satu perkara yang Pas perlu fikirkan.

Perpaduan ummah ini kita perlu jaga kerana jika ummah bersatu, kita akan jadi kuat. Apa yang Pas mainkan sekarang adalah sesuatu yang ganjil, bukan sahaja ahli Pas keliru, rakyat pun bercelaru dengan Pas.

Pemimpin Pas perlu ingat, mereka memimpin untuk generasi muda dan generasi akan datang. Perlu hati-hati kendalikan pimpinan supaya dapat beri jaminan kepada ahli yang Pas tidak terpinggir dalam arus politik negara, ini yang pemimpin Pas perlu fikirkan sedalam-dalamnya.

Apa nasihat Tan Sri kepada pemimpin Pas dan UMNO?
Kedua-duanya perlu ambil contoh PRN Melaka di mana parti perlu mengetengahkan muka-muka baharu yang mempunyai komitmen serta pengalaman yang cukup untuk menjadi wakil rakyat.

Biarkan calon muda dan muka baharu diuji dari sekarang. Mereka mesti mendekati rakyat dan perlu didedahkan bermula sekarang. Kalau mahu jadi ahli politik, tidak boleh jadi tuan besar. Itu yang perlu ditanam dalam jiwa mereka sejak awal.

Apakah tiada lagi harapan untuk melihat gagasan MN antara Pas dan UMNO menjelang PRU15?
Hala tuju MN masih ada. Ada pihak dalam Pas yang mahu ia terus diperkukuhkan. Apa yang penting, jangan main tarik tali dan janganlah Pas berpecah dua akibat permainan politik.

MN adalah doa dan cita-cita kita yang mahu melihat penyatuan ummah berlaku. Parti lawan pernah menggelar MN sebagai Taliban kerana mereka takut dengan kekuatan yang ada pada gabungan ini.

Kita berharap Pas dan UMNO dapat berfikir semula dan menggerakkan kembali MN. Kalau Pas bermain banyak kolam pun jangan sampai berpecah belah. Harapan masih ada untuk MN kembali bergerak dan mengemudi bahtera menjelang PRU15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×