KUCHING: Pas percaya walaupun calonnya bertembung dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Beting Maro namun diyakini tidak menjejaskan hubungan mereka di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya sangat menyasarkan ‘anak sulung’ dalam pilihan raya negeri kali ini sejak bertapak 2001.
Katanya, dengan kini memiliki 36 cawangan di DUN Beting Maro sekali gus memberikan Pas keyakinan untuk meraih kemenangan.
“Dalam konteks Pusat, kita bekerjasama sebagaimana di Melaka, walaupun kita berlawan dengan parti politik yang mendukung kerajaan tapi peringkat Pusat kita masih lagi bersama. Itu hak setiap parti.
“Jadi, tidak ada isu sangat di peringkat Pusat. Kerjasama sangat baik dengan semua parti kerajaan termasuk GPS,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam kelmarin.
Setiausaha Pas Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo diumumkan satu-satunya calon Pas DUN Beting Maro yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.
Menurut Tuan Ibrahim, prestasi Pas semakin baik di Sarawak termasuk mencatat undi kedua tertinggi di Beting Maro pada 2016.
“Pengundi Beting Maro juga bukan asing sebab Pas melakukan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan sepanjang waktu, bukan masa pilihan raya sahaja.
“Memang ada empat ke lima kerusi berpotensi agak baik tapi kita pilih mana yang terbaik dan Beting Maro ini paling baik prestasinya. Jadi, kita nak turun, kita nak ini jadi kemenangan pertama,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menafikan keputusan untuk bertanding satu kerusi sahaja di Sarawak mempunyai kaitan dengan kekalahan Pas di PRN Melaka 20 November lalu.
“Di Melaka, kita tak kalah, cuma tak menang, lagi pun sebelum ini Pas tak ada kerusi pun. Daripada lapan kerusi, tujuh kerusi ada undi peningkatan tinggi. Jadi, tak ada kaitan dengan Melaka,“ katanya. – UTUSAN ONLINE










