Kedah juga berhak maju - Utusan Malaysia

Kedah juga berhak maju

MUHAMAD MAT YAKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERUJUK pada Minda Pengarang Utusan Malaysia bertarikh 29 November lalu bertajuk Bukan salah Pulau Pinang ia lebih maju, apa yang digambarkan mengenai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah menyimpang daripada kebenaran.

Gambaran Menteri Besar Kedah seorang pemimpin yang lemah dan cuba melencongkan perhatian rakyat dengan menyalahkan orang lain ternyata disandarkan pada persepsi semata-mata tanpa pemahaman mengenai isu sebenar berkaitan hubungan Kedah – Pulau Pinang.

Apa yang digambarkan seolah-olah pemimpin kerajaan Kedah iri hati dengan kemajuan yang dikecapi Pulau Pinang.

Ironinya, kemajuan Pulau Pinang selama ini tidak pernah pun jadi isu bagi pemimpin mahupun rakyat Kedah. Sudah sekian lama ramai orang Kedah berhijrah ataupun berulang alik bekerja di Tanjung dan Seberang Perai untuk sama menikmati dan menyumbang kepada kemakmuran Pulau Pinang.

Duri dalam daging yang sebenar dalam hubungan dua negeri ini ialah pemimpin Pulau Pinang sendiri.

Mereka bukan sahaja enggan membayar tuntutan RM50 juta kerajaan Kedah atas 1,100 juta liter padu (mld) air yang diabstrak dari Sungai Muda setiap hari malah tidak mengendahkan surat rasmi yang dihantar untuk merundingkan isu itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Pemimpin kerajaan Pulau Pinang begitu angkuh tidak pernah menjawab walaupun sepucuk surat yang dihantar oleh kerajaan Kedah. Mereka sebaliknya memilih untuk membahaskan isu itu melalui media.

Walaupun isu ini sudah lama, pemimpin kerajaan Kedah sebelum ini mengambil pendekatan untuk diam dan tidak menjawab meskipun kenyataan pemimpin kerajaan Pulau Pinang mahupun eksekutif PBA Holdings Bhd. (PBAHB) yang mengendalikan operasi bekalan air Pulau Pinang, sering menggores hati rakyat Kedah.

Hanya setelah Muhammad Sanusi dilantik Menteri Besar Kedah sejak 17 Mei 2020, beliau tidak mampu lagi untuk terus diam sebagaimana pemimpin-pemimpin terdahulu dalam perkara yang sebenarnya begitu penting dan menjadi hak rakyat Kedah.

Tuntutan kerajaan Kedah terhadap Pulau Pinang bukan tidak berlandaskan undang-undang.

Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) yang diwartakan pada 2006, dan ‘disambut’ oleh Enakmen Sumber Bekalan Air Negeri Kedah yang membawa kepada penubuhan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) pada 2008 adalah asas bagi tuntutan ini.

LSANK adalah badan bawah kerajaan negeri yang bertanggungjawab mengawal selia kesemua sumber air di Kedah.

Pihak operator perlu membayar setiap liter air mentah yang diambil daripada sumber asal di Kedah kepada LSANK.

Syarikat Air Darulaman (Sada) juga membayar kepada LSANK bagi setiap liter air yang diabstrak. Jika Sada, syarikat milik 100 peratus kerajaan Kedah pun bayar, mengapa PBAHB, sebuah syarikat senaraian awam yang sebahagian sahamnya milik kerajaan Pulau Pinang tidak mahu bayar? Itu yang sebenarnya menjadi isu!

Dibandingkan dari segi penggunaan, Pulau Pinang mengabstrak 1,100 juta mdl dari Sungai Muda setiap hari berbanding hanya 800 juta mdl digunakan oleh rakyat Kedah sendiri.
Peratusan air Sungai Muda yang diabstrak dan digunakan oleh Pulau Pinang adalah sebanyak 56 peratus berbanding Kedah hanya 44 peratus.

80 peratus daripada kegunaan air Pulau Pinang adalah daripada Sungai Muda yang 95 peratus kawasan tadahannya adalah di kawasan Hulu Muda di Kedah.

Pemegang-pemegang saham PBAHB menikmati keuntungan yang lumayan kerana mereka bukan sahaja berniaga tanpa mengeluarkan modal untuk bahan mentah (kerana tidak membayar tuntutan kerajaan Kedah) malah menjual pula dengan harga yang berlipat kali ganda tinggi kepada pelanggan-pelanggan industri, kapal dagang dan hotel.

Pulau Pinang sewajarnya turut sama membayar kos penyelenggaraan dan pemuliharaan hutan kawasan tadahan Hulu Muda yang seluas 163,000 hektar.

Selama ini, kerajaan Kedah terpaksa menanggung kos itu sendirian selain terpaksa menanggung kos melepas kerana tidak dapat mengeluarkan hasil dari kawasan itu demi memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan Kedah dan Pulau Pinang.

Jika pemimpin kerajaan Pulau Pinang benar-benar adil dan bertanggungjawab, mereka seharusnya membayar tuntutan Kedah sejak awal atau sekurang-kurangnya sedia untuk ke meja rundingan tanpa menimbulkan isu-isu yang provokatif.

Memang benar Pulau Pinang mengabstrak air Sungai Muda di dalam wilayah negeri itu namun dalam konteks perundangan membabitkan aliran sungai rentas sempadan, ada garis panduan dan undang-undang berkaitan hak riparian yang perlu dirujuk dan dipatuhi.

Mengikut undang-undang itu, hak bagi sumber air guna sama menetapkan had penggunaan air adalah mengikut keluasan kawasan tadahan dan lembangan sungai dimiliki. Vis a vis Pulau Pinang, negeri itu berhak guna lima peratus sahaja air Sungai Muda berbanding 56 peratus selama ini.

Apa yang sebenarnya lebih menyinggung hati pemimpin dan rakyat Kedah ialah sikap pemimpin kerajaan negeri dan PBAHP yang langsung tidak menghormati bukan sahaja perasaan malah kedaulatan negeri.

PBAHP dalam laman web mereka sering berkempen ‘Save Ulu Muda’ tanpa sedikit pun rasa hormat. Sudahlah tidak bayar, mereka menunjuk angkuh pula menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan dan rakyat Kedah di dalam wilayah kedaulatan negeri sendiri.

Mereka juga menunjukkan sikap tidak hormat terhadap Sultan Kedah selaku Raja Pemerintah Negeri.

Penulis cuba ‘menyucikan’ pemimpin kerajaan Pulau Pinang yang digambarkan sebagai bekerja keras hingga berjaya memajukan negeri itu, sementara pemimpin Kedah pula kononnya golongan lemah yang hanya tahu menyalahkan orang lain.

Siapa yang sebenarnya iri hati dan sering mengganggu usaha pemimpin kerajaan Kedah mahu membangunkan negeri sendiri?

Seawal projek lapangan terbang antarabangsa Kulim (KXP) dicadangkan pada 2014, siapa yang ‘keriyau’ minta kerajaan Persekutuan tidak beri kelulusan kepada projek itu yang kononnya tidak perlu dan akan menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas.

Hingga kini pun, bantahan dan kritikan terhadap projek KXP (yang kini dikenali Kedah Aerotropolis) terus dikumandangkan walaupun kerajaan Kedah telah berulang kali menjelaskan bahawa projek ini tidak akan jadi pesaing kepada Pulau Pinang sebaliknya akan saling melengkapi memandangkan permintaan dalam industri kargo semakin meningkat.

Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan pada 29 Ogos lalu menegaskan bahawa kerajaan menetapkan jarak zon penampan dari tebing sungai sekurang-kurangnya 500 meter iaitu lebih 10 kali ganda berbanding had asal.

Ini memberi jaminan yang lebih tegas bagi memastikan kualiti air Sungai Muda yang memberi manfaat kepada 4.09 juta penduduk kedua-dua negeri tidak terjejas.

Berkaitan dengan isu pampasan Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dituntut kerajaan Kedah daripada kerajaan Persekutuan, hal ini sebenarnya ada hubung kait dengan ‘pengorbanan’ atas kehilangan beberapa sumber pendapatan yang sepatutnya menjadi hak rakyat Kedah.

Kedah antara negeri yang paling miskin di negara ini dengan pendapatan per kapita penduduknya yang kedua paling rendah.

Miskinnya negeri dan rakyat Kedah sebenarnya berkaitan dengan pengorbanan yang terpaksa dilakukan seumpama ‘dian yang membakar diri untuk menerangi orang lain’.

Sebagai sebuah negeri pertanian, Kedah membekalkan 43 peratus daripada keperluan beras negara. Dengan status itu, negeri ini terpaksa mengekalkan tanah sawah yang begitu luas bagi memastikan bekalan makanan untuk seluruh negara tidak terjejas.

Jika bukan disebabkan kepentingan itu, nilai tanah pertanian di Kedah boleh meningkat puluhan kali ganda sekiranya diubah status kepada tanah industri yang boleh memberikan pendapatan berbilion ringgit kepada kerajaan negeri dalam bentuk premium dan cukai tanah.

Kedah juga terpaksa merelakan kehilangan pendapatan daripada hasil hutan apabila kerajaan perlu mengekalkan hutan simpan seluas 344, 865 hektar di seluruh negeri ini untuk tujuan pengairan sawah padi.

Kawasan hutan simpan Hulu Muda sahaja seluas 163,000 hektar perlu dikekalkan demi manfaat petani Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Oleh kerana pemimpin kerajaan Pulau Pinang terus berdegil enggan berunding, kerajaan Kedah terpaksa meminta pertimbangan kerajaan Persekutuan kerana ‘bukan orang Pulau Pinang saja, orang Kedah pun reti nak hidup’ juga.

Muhamad Mat Yakim adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×