Bukan salah Pulau Pinang ia lebih maju - Utusan Malaysia

Bukan salah Pulau Pinang ia lebih maju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azlan Minda

PADA akhir 1960-an, Pulau Pinang berhadapan masalah pengangguran yang sangat buruk. Ekonominya menguncup selepas status pelabuhan bebas cukai ditarik balik. Pemimpin negeri itu terpaksa mencari penyelesaian dengan pantas.

Maka negeri itu cuba memujuk industri teknologi tinggi ke pulau itu. Kawasan perindustrian bebas cukai diwujudkan di negeri 10,370 kali ganda lebih kecil daripada Sarawak. Ia tiada sumber asli. Apa yang ada pemimpin berwawasan.

Mereka memujuk orang putih melabur di pulau itu. Kawasan berlumpur dan sawah ditawarkan. Syarikat pembuat cip terbesar dunia Intel tertarik dengan tawaran itu. Ia mendirikan kilang pertama pada 1972 dengan pelaburan awal AS$1.6 juta.

Ia menggaji 100 pekerja tempatan ketika itu. Kilang di Pulau Pinang menjadi antara kemudahan pengeluaran terpenting di dunia kepada Intel. Pernah dilaporkan kereta dinaiki eksekutif kanan Intel tersangkut di dalam lumpur tebal kerana musim tengkujuh ketika melawat kilang. Maka pekerja kilang itu datang membantu untuk mengangkat kereta itu.

Kedatangan Intel mendorong syarikat lain. Advanced Micro Devices (AMD), Hewlett Packard, Clarion, National Semiconductor, Hitachi dan Robert Bosch tiba ke Tanjung. Kehadiran mereka menjadikan Pulau Pinang antara negeri paling pantas berkembang.

Di Seberang Perai kawasan perindustrian Prai dan Mak Mandin dibuka. Pelbagai industri tiba. Daripada elektronik dan kelengkapan kepada getah dan tekstil.

Kedatangan pelbagai syarikat mewujudkan ribuan peluang pekerjaan. Maka berduyun orang dari utara Perak dan Kedah datang ke Pulau Pinang. Gaji dibayar ketika itu tidak besar. Sebulan mungkin RM150 sebagai operator kilang tetapi cukup menyara hidup. Nasi kandar murah ketika itu.

Antara sebab Pulau Pinang dipilih pelabur asing kerana tahap pendidikan penduduknya. Sekolah Penang Free adalah sekolah medium bahasa Inggeris tertua di Asia Tenggara. Ia dibuka pada 1816. Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman sendiri pernah belajar di sekolah itu.

Pertumbuhan Pulau Pinang juga membawa manfaat kepada rakyat negeri lain. Penduduk Tanjung tidak kisah. Kemakmuran dikongsi. Tetapi sejak beberapa bulan lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering menjadikan Pulau Pinang ‘sasarannya’.

Daripada isu air, membina `ban’ menghentikan air, sedut selut, bayaran untuk air Sungai Muda, pampasan untuk Pulau Pinang dan Province Wellesley (sekarang Seberang Perai) dan terbaharu, membeli nombor ekor.

Tidak diketahui kenapa Sanusi sering menjadikan Tanjung sebagai sasaran. Dia sendiri belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) yang terletak di Pulau Pinang. USM dibuka 52 tahun lalu. Kedah hanya ada universiti awam pertama pada 1984.

Kemakmuran dan kemudahan di Pulau Pinang membawa limpahan kepada jutaan rakyat termasuk dari Kedah. Jika isunya air Sungai Muda, Sungai Rhine melalui enam negara – Jerman, Perancis, Switzerland, Belanda, Austria dan Liechtenstein. Semua negara itu boleh hidup dengan Sungai Rhine.

Tanggungjawab sebagai pemimpin tidak mudah. Mereka sentiasa diukur. Tokoh korporat hanya diukur di atas kejayaan mencatatkan keuntungan. Bukan cara dia bercakap atau senyum.

Kepada pemimpin negeri, pembangunan dan kesenangan rakyat menjadi ukuran. Menyalahkan orang lain setiap masa hanya mendedahkan kelemahan sendiri.

Mungkin benar. Kalau dicuba sekuat mana, tidak semua mampu mencapai kehebatan dan kekal sebagai manusia biasa.

 

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya