Pulau Pinang tidak bercadang adakan sebarang MoU dengan pembangkang  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang tidak bercadang adakan sebarang MoU dengan pembangkang 

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak bercadang untuk mengadakan apa-apa memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang negeri ini bagi mewujudkan permuafakatan politik antara gabungan politik berlainan.

Ini kerana menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, kerajaan negeri ketika ini berada dalam keadaan yang stabil serta mendapat sokongan padu daripada rakyat.

Bagaimanapun jelas beliau, beberapa agenda pembaharuan yang dibangkitkan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) yang ditandatangani pemimpin Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan telah dilaksanakan di peringkat negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antaranya kata beliau, menerusi Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 yang menyekat seseorang wakil rakyat daripada melompat parti.

“Selain itu, DUN Pulau Pinang juga telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah PH sering mendahului dalam membawa pembaharuan bagi menjamin hak rakyat dibela,” katanya dalam sidang DUN di sini hari ini.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan lisan Dr. Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) berkenaan langkah dan tindakan kerajaan negeri untuk menawarkan MoU yang serupa seperti CSA atas dasar kepentingan penduduk Pulau Pinang.

Sementara itu, Dr. Afif dalam soalan tambahannya turut membangkitkan sama ada kerajaan negeri sedia mengambil semangat CSA yang ditandatangani itu dengan memberi peruntukan yang sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

Bagaimanapun Kon Yeow menjelaskan, kerajaan negeri mendapati ADUN pembangkang di negeri ini sudah menerima peruntukan berjumlah antara RM300,000 hingga RM400,000 yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat.

Namun jelasnya, peruntukan yang sama daripada Kerajaan Pusat itu tidak diterima oleh ADUN daripada gabungan kerajaan negeri.

“Jadi selepas meneliti perkara ini, kita beranggapan keperluan peruntukan oleh ADUN pembangkang di Pulau Pinang itu sudah diisi oleh Kerajaan Pusat yang bermurah hati memberi peruntukan, (walaupun) kemurahan hati itu tidak diberikan kepada ADUN kerajaan negeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN