Berjaga seminggu gara-gara MT Orkim Harmony - Utusan Malaysia

Berjaga seminggu gara-gara MT Orkim Harmony

Khairul Nizam Misran (kiri) ketika menyertai kursus sebagai jurulatih interdiction maritim di Amerika Syarikat. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENAM tahun lalu negara digemparkan dengan kejadian rompakan ke atas kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa 22 anak kapal. Mereka terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang dari Myanmar.

Ekoran kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan beberapa agensi lain dari beberapa negara menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Kapal yang hilang di perairan Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi itu dimiliki Syarikat Magna Meridian Sdn. Bhd. yang akhirnya berjaya ditemui selepas tujuh hari dengan kesemua kru tersebut selamat.

Bagi Komander Maritim Khairul Nizam Misran, kes MT Orkim Harmony antara pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang kariernya dalam Maritim Malaysia.

Menceritakan pengalamannya, Khairul Nizam yang kini merupakan Pengarah Zon Maritim Mersing berkata, ketika itu beliau bersama lima rakan di Bahagian Cawangan Siasatan Jenayah ditugaskan mengendalikan kes tersebut.

“Ketika itu saya sebagai Ketua Penolong Pengarah di Cawangan Siasatan Jenayah. Boleh dikatakan selama seminggu kami tidak tidur dan berkampung di ibu pejabat kerana perlu mencari petunjuk keberadaan kapal berkenaan yang hilang.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuklah menggunakan rangkaian dari agensi negara jiran untuk mengesan kapal tersebut kerana apa yang kami khuatirkan adalah nasib kesemua anak kapal pada ketika itu.

“Kami akhirnya berjaya menemui klu kedudukan kapal sebelum usaha SAR dilakukan untuk menyelamatkan kru dan kapal tersebut,” katanya.

Khairul Nizam Misran ketika bertugas mengawasi perairan negara.

Cabaran bawa lanun ke Malaysia

Bapa kepada empat anak itu berkata, cabaran mengendalikan kes itu tidak tamat di situ. Ini kerana pasukannya turut diberi mandat melakukan pendakwaan terhadap kesemua lanun yang berjaya ditangkap di Vietnam itu.

Sekali lagi pasukan Khairul Nizam berdepan dengan cabaran untuk membawa kesemua lanun tersebut diekstradisi dari Vietnam ke Malaysia.

“Usaha ekstradisi bukan sesuatu yang mudah. Alhamdulillah dengan kerjasama dari semua pihak berwajib, kes dapat dikendalikan dengan baik yang mana kes ini merupakan ekstradisi pertama yang berjaya dilakukan dalam negara.

“Meskipun kami terpaksa berulang-alik ke Vietnam, namun semua urusan ekstradisi selesai selepas mengambil masa kira-kira 10 hari. Semua berjalan lancar hasil kerjasama Kedutaan Malaysia dan hubungan baik yang terbina dengan pihak berkuasa Vietnam,” katanya.

Khairul Nizam Misran bersama Challenge Coin atau tanda penghargaan yang diterima dari negara luar sepanjang perkhidmatan.

Dalam kejadian terbabit, lapan warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara antara 15 hingga 18 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi merompak kapal MT Opkim Harmony.

Khairul Nizam berkata, kariernya sebagai penjawat awam bukan bermula sebagai anggota maritim sebaliknya berkhidmat sebagai pegawai TLDM terlebih dahulu selama enam tahun.

Beliau yang amat menyukai cabaran berkata, pilihannya untuk bersama keluarga maritim adalah satu yang tepat kerana tugasannya melibatkan penguatkuasaan dan berdepan cabaran sebenar.

Kursus luar negara

Pelbagai perkara baru dipelajari Khairul Nizam dalam dunia maritim termasuk ilmu sebagai jurulatih interdiction maritim yang diperolehi ketika berkursus di Amerika Syarikat (AS) selama lima bulan.

Ketika itu beliau adalah satu-satunya pegawai yang terpilih menjalani latihan bersama peserta daripada 43 negara lain.

“Kursus berkenaan mengajar saya untuk menjadi jurulatih yang lengkap dengan pelbagai ilmu melibatkan pelbagai aspek. Bermula dengan 13 jurulatih, Maritim kemudian mempunyai 24 jurulatih yang ketika itu menggunakan silibus yang kami bangunkan sendiri hasil tambah baik yang dilakukan.

“Selain latihan kepada anggota, Maritim Malaysia turut diberikan pengiktirafan dari negara luar untuk memberikan kursus kepada mereka antaranya dari negara ASEAN. Bagi saya ia satu penghargaan besar buat Maritim Malaysia,” katanya.

Khairul Nizam berkata, pengalaman selama tujuh tahun di ibu pejabat Maritim Malaysia akan cuba dimanfaatkan sebaik mungkin kini untuk anak-anak buahnya di Mersing.

Beliau mahu semua anak buahnya memiliki minda yang positif dalam mendepani apa sahaja cabaran sepanjang tugasan.

“Saya anggap anak buah di sini macam keluarga. Boleh ditegur, berikan nasihat yang baik namun baik itu bukan bererti lembut tetapi tegas.

“Saya mahu terapkan dalam pemikiran mereka agar jangan kata tidak boleh sebelum mencuba yang terbaik.

“Lebih penting saya mahu anggota dan kakitangan Zon Maritim Mersing mempunyai kemahiran pertahankan diri dan juga pengetahuan berkaitan undang-undang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×