KUALA LUMPUR: Subsidi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci perlu diubah dengan memastikan peruntukan tersebut hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar layak dan bukan diberikan secara umum.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, bagi mencapai matlamat itu, kaedah tawaran subsidi perlu diubah dan langkah tersebut secara tidak langsung akan mengurangkan beban kewangan ditanggung Tabung Haji (TH) selama ini.
“Mekanisme memberi subsidi bersasar ini perlu supaya mereka yang benar-benar memerlukan subsidi untuk mengerjakan haji diberi selain kita tidak mahu TH menanggung beban kerana semua mendapat subsidi.
“Isu kos haji meningkat ini juga tidak perlu dijadikan modal politik kerana ia akan menimbulkan kebimbangan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen semalam.
Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan menjangka kos mengerjakan haji meningkat kepada lebih RM30,000 iaitu peningkatan sehingga 50 peratus berbanding RM23,000 sebelum ini.
Peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) dilaksanakan kerajaan Arab Saudi yang naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelum ini, selain penambahan kos bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penularan pandemik Covid-19.
Ketika ini, jemaah haji Malaysia hanya perlu membayar RM9,980 untuk mengerjakan ibadah haji manakala bakinya ditanggung TH.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga Ahli Jawatankuasa Agama dan Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan (PH) berkata, ketika menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2019, beliau pernah membawa isu subsidi haji ke Kabinet berikutan kos subsidi yang tidak pernah dinilai sejak 2009.
“Kita sudah bentangkan dan buat mekanisme seperti jumlah pendapatan bakal jemaah dan simpanan dalam TH. Cuma Kabinet pada waktu itu menganggap, kita perlu buat perkara ini secara berperingkat dan memberi penerangan yang kos subsidi haji ini perlu dinilai semula.
“Kita sudah ada rancangan bagaimana mahu mendidik orang ramai bahawa kebergantungan kepada subsidi bagi mereka yang layak itu tidak wajar dan hanya diberikan kepada yang benar-benar memerlukan.
“Ini akan mengambil masa dan jika mahu tukar secara mendadak, memang ada kesan. Namun, hari ini adalah peluang terbaik apabila isu pandemik berlaku,” kata Mujahid.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kuota haji tambahan sebanyak 10,000 yang diterima TH setiap tahun wajar diberikan kepada pengelola jemaah haji (PJH) bagi menguruskan jemaah yang berkemampuan.
Menurut beliau, TH boleh menggunakan kuota rasmi sedia ada untuk diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan sekali gus akan membantu kerajaan menyerap kos kenaikan mengerjakan ibadat haji.
“TH dapat kuota tambahan hampir 10,000 setiap tahun. Persoalannya adakah kuota tersebut digunakan sepenuhnya? Mengapa tidak diberikan kepada PJH ?
“Jadi sekiranya kos mengerjakan haji meningkat terlalu tinggi, adalah lebih baik kerajaan berikan kuota tersebut kepada PJH manakala TH tumpukan untuk jemaah yang betul-betul kurang berkemampuan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K C Ahmmu pula berkata, peningkatan tersebut sudah dijangka dan wajar ekoran penularan Covid-19.
“Cukai akan mempengaruhi kos haji. Ia tidak dapat dielak. Tambahan pula SOP sebelum ini turut menyumbang kepada peningkatan kos.
“Sebenarnya, ia tidak ada isu dan ia wajar dengan keadaan sekarang bertepatan dengan SOP dan kenaikan cukai-cukai lain,” kata beliau.- UTUSAN










