Laksana segera sistem cap jari pada mesin ATM - Utusan Malaysia

Laksana segera sistem cap jari pada mesin ATM

SAMSUDIN Mohd. Fauzi menunjukkan salinan resolusi cadangan pelaksanaan sistem biometrik pada mesin ATM yang pernah dikemukakan PKPKL kepada kerajaan lapan tahun lalu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pelaksanaan pengesahan biometrik menggunakan cap jari pemilik akaun pada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) wajar dipertimbang bagi membendung kegiatan ah long dan kewujudan ‘keldai akaun’.

Sekiranya diperkenalkan di negara ini, sistem itu dapat mengelak pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dan scammer mengeksploitasi mangsa bagi melakukan pengeluaran wang secara tidak sah.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohd. Fauzi berkata, resolusi berkaitan sistem itu pernah dikemukakan pihaknya selepas perbincangan bersama polis dan agensi berkaitan pada 2013.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, katanya, tiada sebarang maklum balas berhubung cadangan tersebut daripada kerajaan sehingga kini.

“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan saya sendiri, semua pihak bersetuju sistem itu wajar disegerakan kerana ramai yang sudah menjadi mangsa, termasuk diperdaya tanpa menyedari mereka adalah keldai akaun.

“Akibatnya, ada yang diambil tindakan dibekukan akaun banknya sehingga berdepan kesukaran sedangkan penjenayah sebenar masih bebas di luar sana,” katanya selepas bertemu 10 individu yang hidup dalam ketakutan kerana diganggu ah long di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Samsudin berharap kerajaan mendengar dan sedia mempertimbang cadangan itu memandangkan masalah ah long sudah lama wujud di negara ini tanpa sebarang penyelesaian signifikan.

“Sistem biometrik ini terbukti selamat, malah Jepun pun sudah guna sistem ini. Kenapa kerajaan mengambil masa panjang untuk melaksanakan sistem ini untuk ATM, sedangkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah lama buat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×