KOTA KINABALU: Pelancaran sayap Parti Warisan (Warisan) di Semenanjung Malaysia pada 17 Disember ini akan memberi tumpuan kepada kawasan tertentu.
Langkah itu bagi memastikan Warisan mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan di kawasan yang boleh memberi impak pada pilihan raya akan datang.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, apa yang penting ketika ini adalah melebarkan sayap parti ke Semenanjung. Namun, mereka tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi untuk membuka cawangan di semua kawasan.
“Kita perlu bersifat selektif maka, ada kawasan yang kita tidak akan buka cawangan kerana kita tidak mempunyai masa yang mencukupi.
“Walau bagaimanapun, kita sudah melakukan proses yang sepatutnya jadi, tiada masalah untuk merealisasikan (pembukaan cawangan),” katanya selepas merasmikan Persidangan Tahunan Warisan Bahagian Putatan semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, parti itu tidak mahu melebihi had yang ada kerana pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa pada tahun depan mahupun tahun berikutnya.
Tambah beliau, senarai pemangku jawatan yang akan dipilih di beberapa negeri sudah tersedia dan parti sedang melakukan perincian bagi memilih penaja yang sesuai untuk menjadi ketua di kawasan tertentu.
Menurut beliau, ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Semenanjung juga menyatakan kesediaan menyertai Warisan. Malah, beberapa individu sudah bertemu dengannya semasa beliau berada di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut katanya, selepas melebarkan sayap parti, Warisan akan bekerjasama erat dengan rakan seperjuangannya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
“Saya sudah pun berbincang dengan Syed Saddiq dan jawatankuasa Muda dan saya fikir semuanya sudah jelas.
“Kita juga sedia maklum bahawa parti Muda masih belum diluluskan sebab itu, saya berjumpa pemimpin mereka untuk melihat bagaimana gabungan kerjasama ini dapat direalisasikan,” katanya.
Warisan yang dahulu menggunakan nama Parti Warisan Sabah kini dikenali sebagai Parti Warisan selaras dengan perlembagaan parti dan hasrat melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.
Hadir sama ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dan Ketua Bahagian Warisan Putatan merangkap Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.-UTUSAN ONLINE











