PETALING JAYA: “Petronas bersedia untuk masa hadapan.”
Demikian tekad Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Menjelaskan persediaan Petronas untuk terus relevan dalam pasaran tenaga dunia kepada Utusan Malaysia, Tengku Taufik menggambarkan syarikat minyak dan gas itu bakal menjadi ‘pasar raya tenaga’ yang menawarkan pelbagai produk termasuk mempelbagaikan katalog tenaga boleh dibaharuinya (RE).
Menurutnya, Petronas mempunyai potensi untuk memasarkan pelbagai bentuk tenaga yang diperlukan dunia pada masa hadapan termasuk hidrogen, solar, angin, gas asli dan bahan api rendah karbon.
Mengulas kesediaan Petronas ke arah itu, beliau berkata, ia bergantung kepada kapasiti perbelanjaan yang dibenarkan.
“Saya boleh katakan, warga Petronas mempunyai pengetahuan ke arah itu. Namun, kami perlukan perbelanjaan modal dan pelaburan (yang mencukupi),” kata beliau dalam temu bual baru-baru ini.
Menurut Tengku Taufik, Petronas mengambil berat keperluan untuk mengelakkan ‘kejutan komoditi akibat kebergantungan tinggi kepada produk yang terdedah kepada turun naik harga seperti urea dan etilena.
“Akhirnya nanti, anda akan melihat kebanyakan kilang-kilang Petronas beralih kepada menghasilkan bahan kimia berbanding menghasilkan produk petroleum daripada minyak mentah.
“Kami sudah pun mula (penglibatan) dalam tenaga solar, membina asas dalam hidrogen, bahan kimia istimewa malah kami juga sudah bergerak ke arah simpanan tenaga serta beberapa bahan termaju,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Tengku Taufik, Petronas turut memberikan tumpuan kepada aktiviti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang diperlukan untuk mengekstrak sumber-sumber baharu syarikat itu.
Menurut beliau, Petronas mesti mengikut arus perubahan peralihan tenaga ini memandangkan keperluan untuk mengekang dan mengawal pelepasan karbon sememangnya menjadi agenda besar untuk mana-mana syarikat minyak dan gas.
Jelas beliau, walaupun Petronas mempunyai penyelesaian sementara iaitu gas asli, dalam jangka masa panjang syarikat itu tetap perlu bergerak ke arah penyelesaian yang lebih rendah karbon.
“Sama ada Petroliam Nasional Berhad akan dijenamakan sebagai sesuatu yang lain, saya boleh katakan, belum lagi. Dalam satu atau dua dekad ini memang minyak dan gas masih sebahagian daripada campuran tenaga itu.
“Namun, ia tidak menghalang pelaburan lebih intensif dalam ruang ini,” katanya.
Tengku Taufik memberitahu, potensi terbesar penerokaan sumber baharu untuk syarikat itu ketika ini ialah hidrogen yang disifatkan mempunyai keserasian semula jadi dengan Petronas.
Kata beliau, Petronas sudah mempunyai kemampuan untuk menghasilkan hidrogen baik secara elektrik (menggunakan kaedah elektrolisis) mahupun kimia ( pembentukan semula metana).
“Kedua-dua kaedah ini sangat berdaya maju untuk Petronas. Kami mampu menggunakan tenaga elektrik yang sangat cekap kos juga kami mempunyai kemudahan sedia ada yang boleh memindahkan hidrogen kepada pasaran sasaran dalam bentuk ammonia.
“(Kaedah) kimianya sudah diketahui oleh Petronas, sebab itu ia secara semula jadi serasi untuk Petronas,” katanya.- UTUSAN










