NuMee bantu industri F&B tempatan pulih - Utusan Malaysia

NuMee bantu industri F&B tempatan pulih

FIZO Omar akan membuat kemunculan khas bagi membantu kempen Numee.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama mee kuning tempatan, NuMee keluaran Gardenia telah melancarkan direktori makanan Malaysia dalam talian bagi memudahkan rakyat Malaysia mencari dan memberi sokongan kepada restoran tempatan dan gerai penjaja, khusus mereka yang menjual hidangan mi kuning.

Direktori yang tersedia pada laman web findnumee.com berhasrat untuk menyenaraikan lebih 100 tempat makan di Semenanjung Malaysia bagi mendekatkan kedai makanan dan minuman tempatan ke meja makan rakyat Malaysia.

Ia dilancarkan dengan 50 senarai kedai dan akan dikemas kini secara berkala untuk menampilkan lebih banyak lokasi makanan dan minuman, khususnya mereka yang menjual hidangan mi kuning.

Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Ena Suhaila Abas berkata, rakyat Malaysia perlu menyokong peniaga makanan dan minuman tempatan bagi memastikan mereka dapat bertahan mendepani pandemik Covid-19 dan mengekalkan warisan makanan dan minuman tempatan.

“Malaysia terkenal dengan juadah makanan yang juga merupakan pemacu budaya, ekonomi dan kemakmuran rakyat.

“NuMee bertekad untuk menderma 5,000 pinggan hidangan NuMee dan membayar harga setiap hidangan yang akan dimasak oleh kedai makan tempatan yang tersenarai dalam direktori Find Mee untuk diberikan sebagai hidangan percuma kepada sesiapa yang memerlukan.

“Inisiatif itu akan membantu memacu jualan gerai berkenaan sambil memberi sumbangan makanan kepada mereka yang memerlukan. Kami mahu membantu mereka yang terkesan akibat pandemik seramai yang boleh,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pelakon dan pengacara, Fizo Omar berkata, beliau akan membuat kemunculan khas untuk menyerahkan makanan kepada penerima pada masa yang akan ditetapkan dan lokasi akan diumumkan apabila tarikh pengedaran semakin dekat.

Ujarnya, dia telah mengharungi pelbagai cabaran dan kegagalan sepanjang perjalanan menjadi ahli perniagaan, namun pengalaman itu telah mengajarnya untuk menjadi ahli perniagaan yang lebih baik.

“Saya mahu menggunakan pengalaman dan platform saya untuk membantu rakyat Malaysia menjana rezeki dan berkembang maju dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

“Inisiatif Find Mee ialah usaha ikhlas daripada NuMee untuk membantu para peniaga mengekalkan perniagaan mereka,” katanya.

Inisiatif itu akan berlangsung bermula November sehingga tahun baharu dengan harapan dapat memberi peluang kepada semua gerai bersaiz mikro, kecil dan sederhana untuk memulihkan kehidupan mereka dan seterusnya memulakan tahun baharu dengan lebih baik.

Melalui kempen ini, NuMee juga telah mencipta permainan mudah alih, Find Mee yang membolehkan orang ramai mengambil bahagian dalam kempen dan menderma hidangan NuMee yang lazat dan berkhasiat kepada golongan kurang bernasib baik.

Orang ramai juga boleh mencalonkan gerai tempatan kegemaran mereka untuk disenaraikan di dalam direktori dengan melayari www.numeegardenia.com.my/hubungi/ atau dengan menghantar mesej langsung kepada https://m.facebook.com/numeegardeniaofficial/ dan www.instagram.com/numeegardenia_official dengan nama, lokasi dan nombor telefon kedai makan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×