KANGAR: Kekurangan hasil laut termasuk pencerobohan bot pukat tunda siput rentak seribu dari luar di perairan Kuala Perlis menjadi salah satu penyumbang kenaikan harga ikan di negeri ini.
Jika dahulu, peniaga di pasar di sini mampu menjual pelbagai hasil laut namun kebelakangan ini hasil tersebut berkurangan sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengimport ikan dari Thailand.
Malah, musim tengkujuh ketika ini menyebabkan nelayan tidak turun ke laut turut menjadi s punca kenaikan tersebut.
Peniaga ikan di pasar Kuala Perlis yang ditemui Utusan Malaysia di sini mengeluh kekurangan hasil laut di perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu yang semakin teruk akhir-akhir ini.
Seorang peniaga ikan, Azhan Daud, 57, berkata, beberapa tahun lalu dia mampu menjual sehingga 100 kilogram hasil laut sehari termasuk ketam, ikan, udang dan sebagainya.
Namun, meja jualan bekas nelayan itu kini kosong kerana mampu menjual 30 peratus daripada jumlah sebelum ini kerana hasil laut semakin berkurangan.
“Apabila mereka datang memukat di sini, siput tersebut yang menjadi sumber makanan kepada ikan-ikan sudah tiada. Ini menyebabkan ekosistem terganggu. Laut di Perlis ini kecil sahaja dan bila ikan tidak datang ke sini maka hilang hasil laut nelayan.
“Kesannya bukan sahaja kepada nelayan, tetapi juga pada peniaga dan seterusnya pelanggan serta rakyat negeri ini yang kekurangan sumber laut. Bila sumber laut berkurangan akan berlaku masalah harga terutamanya ketika musim hujan ketika ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga ikan, Ismail Wahid, 57, pula berkata, terdapat peningkatan harga ikan baru-baru ini seperti ikan cencaru naik kepada RM10 sekilogram berbanding RM7 sekilogram kira-kira sebulan lalu.
“Kalau macam ikan kembung pula ada naik dan turun. Macam minggu lalu RM14 sekilogram dan hari ini boleh dapat RM10 sekilogram.
“Biasanya bila bulan cerah, ikan akan lebih sedikit. Tambahan pula bila ada ribut dan nelayan tidak dapat turun ke laut juga menyebabkan harga ikan naik,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang bekas nelayan, Ghazali Awang Kechik, 72, berkata, dia berhenti menjadi nelayan 10 tahun lalu apabila berlaku masalah pencerobohan bot pukat tunda siput retak seribu berlaku di negeri ini.
“Hasil tangkapan ikan berkurangan dan tidak ada, jadi bagaimana kami nak cari makan. Banyak bot-bot dari Kedah yang datang memukat di sini walaupun perkara itu tidak dibenarkan.
“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil perhatian mengenai perkara ini,” ujarnya.- UTUSAN










