PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) haruslah diadakan selepas kadar pemberian dos penggalak ataupun dos ketiga menyamai kadar pemberian dos kedua.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, bagi menilai kesan penularan Covid-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu masih awal untuk mengumumkan atau memutuskan sama ada PRU-15 perlu diadakan sekarang ataupun selepas ini.
“Saya risau pada waktu ini bila kesan vaksin mula berkurangan dan bila kita dengar jumlah penerima dos ketiga lebih rendah berbanding dos kedua juga buat saya khuatir tentang keselamatan rakyat kita.
“Wajar kita tangguh apa-apa perancangan untuk mengadakan PRU-15,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Pada PRN Melaka baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hanya sekitar 66 peratus pengundi yang keluar menjalankan tanggungjawab mereka untuk membuang undi.
Masih ramai penghuni bimbang akan keselamatan mereka untuk keluar mengundi kerana penularan Covid-19 masih mencatatkan sehingga empat angka.
“Ini adalah untuk kita pastikan dulu dos ketiga itu diberikan kepada lebih ramai rakyat Malaysia sekurang-kurangnya hingga 80 peratus.
“Sekarang kita dengar kemasukan pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh semakin meningkat jadi perkara itu merisaukan kerana PRU-15 akan memerlukan penglibatan semua rakyat Malaysia yang layak mengundi,” katanya.- UTUSAN











