PEMBUNUHAN beramai-ramai atau genocide bukan sahaja berlaku dalam bentuk skala besar pada satu-satu masa, tetapi juga dalam tempoh tertentu dengan perancangan cukup rapi. Peristiwa pembantaian di Srebrenica, Bosnia-Herzegovina pada 1995 yang mengakibatkan lebih 8,000 nyawa terbunuh merupakan antara contoh tragedi malang yang sentiasa menjadi bualan mulut masyarakat antarabangsa terutama dalam kalangan umat Islam sehingga hari ini.
Namun tahukah pembaca, terdapat satu lagi peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang saya berani katakan jauh lebih dahsyat berlaku di atas muka bumi ini, tapi begitu sedikit yang memperkatakan tentangnya?
Bencana kebuluran dikenali Holodomor yang berlaku di Ukraine sewaktu era Kesatuan Soviet merekodkan lebih tiga juta nyawa manusia melayang.
Tragedi menyayat hati ini disifatkan sebagai salah satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah umat manusia. Peristiwa kelam yang berlaku dari 1932 hingga 1933 itu dilakukan oleh rejim Kesatuan Soviet di bawah pemerintahan kuku besi, Joseph Stalin.
Pembunuhan sadis secara perlahan-lahan ini tidak memerlukan senjata berat dan kudrat angkatan tentera. Cukup sekadar merampas dan menghalang segala kemasukan sumber makanan bagi menekan segala usaha gerakan kebangsaan Ukraine yang dilihat dapat mengancam kedudukan rejim komunis waktu itu.
Mengikut rekod sejarah, Ukraine, negara kedua terbesar Eropah pada suatu ketika dahulu pernah diberkahi dengan tanah hitam yang subur sehingga mampu mengeluarkan pelbagai sumber makanan seperti bijirin, gandum dan sebagainya. Bahkan sebelum bermulanya Perang Dunia Pertama, para petani dan pemilik tanah Ukraine berjaya menghasilkan sebanyak 43 peratus pengeluaran barli, 20 peratus gandum dan 10 peratus jagung dunia.
Ternyata eksport gandum Ukraine pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 memainkan peranan begitu besar dalam pembangunan ekonomi Empayar Rusia. Ketika itu, Ukraine digelar sebagai bakul roti Eropah.
Namun, segala-galanya berubah setelah kejatuhan Empayar Rusia diselangi kebangkitan Kesatuan Soviet yang mula mengancam kedaulatan serta berusaha menghalang kemerdekaan dan pembentukan negara berkerajaan sendiri Ukraine. Kesatuan Soviet mengisytiharkan perang ke atas Ukraine sebaik sahaja berjaya menguasai Rusia pada 1917.
Empat kali Kyiv (ibu negara Ukraine) diserang dan ditakluki Bolshevik (golongan komunis) sehingga akhirnya berjaya menguasai sebahagian besar wilayah Ukraine pada penghujung 1920. Penaklukan itu bermakna bermulalah era pemerintahan rejim komunis Soviet yang kejam dengan merampas tanah secara paksa, mengenakan dasar polisi industri kebangsaan, pemaksaan tenaga kerja dan segala undang-undang berat dengan mengikut arahan terus dari Kremlin.
Namun, ketika itu melihatkan krisis Ekonomi Soviet yang semakin merudum meresahkan rejim sehinggakan konflik dengan petani tidak dapat dibendung lagi. Oleh yang demikian, rejim komunis mengubah suai polisi mereka dengan memperkenalkan kaedah lima tahun inisiatif komersial dan kewangan atau disebut sebagai NEP (ekonomi politik baharu).
Dalam erti kata lain, dasar baharu itu ingin membawa Ukraine ke arah komunisme secara total. Pada akhir 1927, rejim Soviet mengambil keputusan untuk mempraktikkan konsep pertanian secara kolektif.
PELADANG KAYA
Konsep tersebut menyebabkan berlaku episod rampasan bijirin dan hasil pertanian secara paksa pada Januari 1928. Kaedah yang dijalankan penuh dengan teratur seperti merampas ladang-ladang subur milik mereka yang disebut Soviet sebagai kulak atau peladang kaya.
Pada awalnya, golongan kulak ini dikenakan denda yang tinggi serta dipaksa mematuhi undang-undang begitu ketat sehingga pada akhirnya hak-hak ke atas harta mereka dilucutkan lalu dihalau keluar. Pada 1932, para petani yang tidak mengikut kuota pemerolehan bijirin dan segala produk pertanian yang tinggi akan dihukum dengan dirampas segala sumber makanan mereka.
Undang-undang dan polisi yang diterapkan Soviet saban hari membunuh warga Ukraine yang tidak berdosa sehingga dikatakan 1,000 orang maut dalam setiap sejam.
Pada November 2008, sebuah tugu peringatan mangsa-mangsa Holodomor dibina di Kyiv. Warga Ukraine menyalakan lilin-lilin lalu disusun di tingkap-tingkap rumah masing-masing sebagai simbol peringatan kepada mereka yang terbunuh disebabkan kebuluran. Peringatan ini dijalankan setiap Sabtu keempat dalam November.
Pada pandangan saya, peristiwa Holodomor ini wajar dikaji dan dikongsikan kepada masyarakat Malaysia supaya kita peka dengan peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan negara. Dalam masa kita mempertahankan nasib umat Islam di seluruh dunia, jangan dilupakan pula dengan nasib bukan Islam yang turut tertekan dan ditimpa kecelakaan. Kita seharusnya lebih adil apabila berjuang menegakkan hak kemanusiaan kerana itu juga merupakan salah satu tuntutan agama.
Tragedi ini secara tidak langsung memberi mesej penting kepada semua supaya sentiasa menghargai petani, peladang serta mereka yang bertugas menyalurkan makanan kepada kita. Suara mereka perlu didengari dan hak-hak mereka perlu dipertahankan.
Yang penting, peristiwa Holodomor turut membuktikan tiada bezanya antara kekejaman Nazi dan Kesatuan Soviet, sekalipun mereka adalah seteru Perang Dunia Kedua.
Namun, kekejaman dan kezaliman pemimpin mereka, Adolf Hitler dan Joseph Stalin tidak boleh dimaafkan sama sekali. Kedua-dua mereka merupakan penjenayah perang!
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










