Pelajar tahfiz dibekal ilmu pertahanan awam - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz dibekal ilmu pertahanan awam

PARA pelajar Sekolah Watak Zakat Kedah, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kaspa) mengikuti silibus pertahanan awam yang dikendalikan oleh APM. UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) mahu memastikan 360 penuntut di tiga kolej agama di bawah kelolaannya memperoleh pendidikan seimbang antara ilmu agama dan berkemahiran dalam ilmu pertahanan awam.

Pelajar-pelajar tersebut selepas ini bukan sahaja bakal bergelar al-hafiz sebaliknya juga cekap dalam mengendalikan kes-kes kecemasan dan menyelamat.

Sehubungan itu, dua Kolej Agama Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti dan Mergong, Alor Setar serta Maahad Dini Sultan Abdul Halim di Sik dijadikan model Sekolah Watak Zakat Kedah secara pengurusan Kadet Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam merealisasikan usaha murni itu, LZNK menjalin kerjasama dengan APM bagi mewujudkan Sekolah Watak Zakat Kedat, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kaspa) yang pertama di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, pelajar di ketiga-tiga kolej agama tersebut akan diterapkan dengan nilai agama serta disiplin tinggi sepanjang tempoh pengajian, selain memiliki kemahiran tambahan berkaitan ilmu-ilmu menyelamat dan kecemasan.

Katanya, pelajar di kolej-kolej agama tersebut yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima sebelum ini berjaya melahirkan pelajar menjadi huffaz.

Menurut beliau, pelajar terlibat juga turut diberikan ilmu-ilmu hadis, mengkaji sanad hadis dan mentafsirnya dengan baik.

“Bagaimanapun, mereka selepas ini turut mengikut silibus pertahanan awam di bawah kendalian APM yang akan menjadi nilai tambah kepada pelajar-pelajar berkenaan.

“Konsepnya ala-ala Maktab Tentera Diraja (MTD) dengan para guru juga tidak lagi dipanggil sebagai cikgu sebaliknya bergelar ‘tuan’ atau ‘puan’ mengikut pangkat APM,” katanya.

ROSLAN Wahab (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Pelancaran Sekolah Watak Zakat Kedah, Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kaspa) di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, Alor Setar baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika dalam majlis pelancaran Sekolah Watak Kedah Zakat Kedah, Kaspa di Kolej Agama Sultan Abdul Halim, Alor Setar baru-baru ini.

Majlis pelancaran dilakukan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Beliau berkata, pelajar tersebut juga akan memakai pakaian seragam APM sepanjang mengikuti pengajian di kolej agama itu.

“Kolej tersebut tidak ada lagi pengetua, guru besar, penolong kanan sebaliknya mengikut pangkat dalam APM,” ujarnya.

Beliau berkata, visi Sekolah Watak Kedah Zakat Kedah adalah menjadikan ia unggul di peringkat nasional serta memperkasakan kesiapsiagaan pasukan untuk keselamatan dan kesejahteraan negara sesuai dengan mottonya ‘Sekolah Zakat Kedah Sentiasa Bersedia’.

Roslan menambah, latihan ilmu pertahanan awam akan dikendalikan sepenuhnya oleh APM Kedah mengikut silibus ditetapkan tanpa menjejaskan pengajian di kolej berkenaan.

Katanya, pada peringkat awal ini, pelajar-pelajar tidak akan menyertai misi-misi menyelamat yang berbahaya, sebaliknya mereka akan menjalani latihan tersebut terlebih dahulu sehingga mahir mengendalikan kes-kes kecemasan dan menyelamat.

“Bagaimanapun, pada masa akan datang, kita boleh melibatkan mereka dengan misi-misi kemanusiaan bergantung kepada masa dan operasi sesuai.

“Pelajar juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak pentadbiran sekolah terlebih dahulu untuk menyertai aktiviti kecemasan dan menyelamat supaya tidak menjejaskan pelajaran mereka,” katanya.

Pelajar teruja

Seorang pelajar dari Kolej Agama Sultan Abdul Halim, Luqman Hakim Abu Bakar, 17, berkata, dia sangat teruja menyertai pasukan Kadet Pertahanan Awam kerana berpeluang mempelajari ilmu sebagai penyelamat serta dapat meningkatkan disiplin diri.

LUKMAN HAKIM

“Sejak dahulu lagi saya berminat dengan aktiviti beruniform dan apabila adanya kerjasama LZNK dengan APM, hasrat saya untuk menyarung baju beruniform akhirnya tercapai,” katanya yang sudah menghafal 29 juzuk al-Quran.

Mohd. Muslim Sofiyuddin Wazin, 19, pula berkata, penyertaannya dalam badan uniform itu sebagai nilai tambah kepada dirinya sebagai pelajar.

“Sebelum ini saya hanya mengikuti disiplin di asrama sahaja tetapi dengan penyertaan di dalam kadet ini dapatlah memantapkan lagi disiplin serta jati diri sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

MOHD. MUSLIM

“Islam juga menggalakkan umatnya berdisiplin kerana tanpa disiplin seseorang itu tidak akan berjaya dalam hidupnya.

“Sebagai huffaz, kami juga perlukan disiplin untuk berjaya dengan mengikut segala arahan yang diberi oleh guru-guru,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Nasaee Abd. Aziz, 17, pula amat gembira kerana kolej itu menjalinkan kerjasama dengan APM bagi mewujudkan Sekolah Watak Zakat Kedat, Kaspa yang pertama di negara ini.

Beliau berkata, penglibatannya dalam pasukan itu akan menambahkan keyakinan kepada dirinya terutamanya bagi memberi bantuan kepada masyarakat terutamanya dalam misi bantuan.

AHMAD NASAEE

“Saya sangat berminat untuk berbakti kepada masyarakat kerana Islam menggalakkan umatnya memberi pertolongan dan rawatan.

“Oleh itu saya akan mengambil peluang ini bagi mempelajari pelbagai ilmu pertahanan awam untuk berbakti kepada keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×