PADA minggu lalu, seorang ibu dipanggil bagi memberi keterangan di Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur. Keterangan diperlukan bagi membantu mahkamah membuat keputusan dan menentukan hala tuju penempatan anak kandungnya sendiri berdasarkan Seksyen 40(3) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Anaknya diletakkan di bawah jagaan seorang aktivis terkemuka sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memindahkan kanak-kanak tersebut ke rumah jagaan sementara. Di bawah Seksyen 17(1) Akta 611, antara lain kanak-kanak yang memerlukan perlindungan ditakrifkan sebagai ‘seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan jika kanak-kanak itu telah atau besar kemungkinan kanak-kanak itu akan dicederakan dari segi fizikal atau dicederakan dari segi emosi atau dianiaya dari segi seks oleh ibu atau bapa.’
Berita ini menjadi topik hangat dibualkan masyarakat lebih-lebih lagi kerana kes melibatkan seorang aktivis terkenal di Kuala Lumpur yang terpalit dengan tuduhan pengabaian kanak-kanak di bawah Seksyen 31(1) Akta 611. Persoalan yang mula terbit daripada perbincangan kes ini adalah sama ada aktivis yang didakwa layak untuk menjaga kanak-kanak itu memandangkan beliau telah didakwa di mahkamah jenayah, lebih-lebih lagi memandangkan pertuduhan tersebut melibatkan kecederaan kepada kanak-kanak.
Namun, ada juga yang bertanya jika pertuduhan sahaja tidak sepatutnya memprejudiskan hak dan kepentingan mana-mana individu sebelum tuduhan terhadap beliau dibuktikan di mahkamah. Adalah menjadi satu prinsip perundangan sejagat bahawa seseorang akan tetap dianggap tidak bersalah selagi sabitan terhadapnya tidak diperoleh dan diputuskan mahkamah.
Mengikut rentetan rungkaian kes, ibu kepada kanak-kanak ini bersetuju meletakkan anak perempuannya dalam jagaan aktivis tersebut atas alasan ingin membantu persekolahan kanak-kanak itu. Namun, apabila anaknya dipindahkan ke rumah perlindungan oleh JKM, ia menatijahkan pergolakan antara ibu dan aktivis. JKM melakukan tindakan pemindahan kanak-kanak ini atas alasan kerisauan munasabah terhadap keselamatan kanak-kanak tersebut. Tindakan ini berpandukan Seksyen 39(1) Akta 611 yang memaktubkan ‘mana-mana pelindung atau pegawai polis yang berpuas hati atas alasan munasabah bahawa seseorang kanak-kanak memerlukan perlindungan dan pemulihan boleh memerintahkan supaya kanak-kanak itu dipindahkan ke suatu tempat perlindungan dan kanak-kanak itu hendaklah ditahan buat sementara di tempat perlindungan itu.’
PARAH
Saya percaya mahkamah hanya menyokong permohonan JKM selepas mengambil kira kepentingan utama kanak-kanak sejajar dengan keperluan Seksyen 30(5) Akta 611 yang menyebut ‘dalam menentukan apakah perintah yang hendak dibuat di bawah subseksyen (1), mahkamah bagi kanak-kanak hendaklah memberikan pertimbangan utama kepada kepentingan kanak-kanak itu.’
Malah, penggubalan Akta 611 juga mengambil kira Artikel 9(1) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang menyatakan ‘negara-negara pihak hendaklah memastikan bahawa seseorang kanak-kanak itu tidak dipisahkan daripada ibu bapanya tanpa kerelaannya, kecuali apabila pihak berkuasa yang berwibawa yang tertakluk kepada kajian semula kehakiman, memutuskan mengikut undang-undang dan tatacara yang terpakai bahawa pemisahan sedemikian adalah perlu bagi kepentingan terbaik kanak-kanak itu.’
Pemisahan itu mungkin perlu dalam kes tertentu seperti melibatkan penganiayaan atau pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa atau di mana ibu bapa tinggal secara berasingan dan suatu keputusan mestilah dibuat mengenai tempat tinggal kanak-kanak itu. Isu sama ada aktivis ini melakukan penderaan mahupun pengabaian terhadap kanak-kanak lain adalah di luar bidang kuasa mahkamah kanak-kanak dan tidak harus didahului spekulasi masyarakat umum.
Namun, fakta bahawa kecederaan parah telah berlaku kepada seorang kanak-kanak di bawah penjagaan aktivis tersebut adalah satu fakta hakiki yang tidak boleh dikesampingkan oleh mana-mana pihak. Tambahan pula fakta di mana rumah jagaan aktivis ini bukan sahaja tidak berdaftar mengikut prosedur yang sepatutnya, malahan prosedur jagaannya yang tidak sempurna mengakibatkan hampir keseluruhan penghuni rumah jagaan dan kediaman peribadi beliau telah positif Covid-19.
Saya percaya, mahkamah setelah meneliti keterangan saksi-saksi yang dipanggil dan pegawai pelindung, tiada fakta baharu yang memberikan perubahan kepada kemungkinan ini. Walaupun mungkin ‘tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah’ adalah satu prinsip undang-undang, mahkamah kanak-kanak haruslah memikirkan kepentingan kanak-kanak melangkaui prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ kerana isu kebertanggungjawaban aktitivis ini di sisi undang-undang jenayah akan diselesaikan di mahkamah jenayah kelak.
Jika benar wujud elemen jenayah seperti disyaratkan dalam pertuduhan di bawah Seksyen 31 Akta 611, saya yakin mahkamah jenayah akan memainkan hikmah yang adil dalam mengadili fakta yang akan dibentangkan kelak. Harus ditekankan apabila kes melibatkan kepentingan kanak-kanak, mahkamah akan meneliti setiap peruntukan undang-undang dan menggunapakai prinsip yang terkandung dalam undang-undang kepada fakta kes bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terlibat. Itulah tunjang yang menjadi keutamaan mahkamah.
PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










