Hidup mati saya untuk industri seni – Keanu Azman - Utusan Malaysia

Hidup mati saya untuk industri seni – Keanu Azman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA merupakan langkah untuk mencapai impian. Namun, usaha yang dilakukan tanpa minat akan menjadi sukar untuk melaksanakan sesuatu perkara yang penting.

Minat mampu memberi motivasi dan mendorong individu berusaha ke arah matlamat yang sudah terbentuk. Oleh itu, tanpa minat dan usaha, kejayaan tidak akan dicapai dengan mudah.

Itulah yang dilakukan oleh Mohamed Keanudin Mohamed Azman atau lebih dikenali sebagai Keanu Azman, personaliti HITZ yang telah menjadi penyampai radio seawal usia 21 tahun sehingga kini.

Meminati karier pengacara sejak berumur 13 tahun, Keanu sentiasa mencari peluang untuk menceburi bidang itu dengan mengacara majlis di sekolahnya bagi meningkatkan keyakinan diri dan kurangkan rasa gemuruh di khalayak ramai.

“Ketika kanak-kanak lain suka menonton kartun, saya lebih gemar tonton rancangan realiti seperti American Idol dan Akademi Fantasia untuk belajar cara menjadi pengacara selain menguasai bahasa Inggeris dan Melayu,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Memulakan langkah dalam bidang seni pada 2018, graduan Diploma Komunikasi Korporat itu telah mengacara sebuah rancangan sarapan pagi selama setahun. Sejak itu, dia yakin akan cita-citanya untuk melakukan pekerjaan itu seumur hidup.

“Perkataan yang sesuai untuk menggambarkan apa saya rasa ialah ‘cinta’. Saya cintakan apa yang dilakukan jadi hidup mati akan didedikasi kan kepada industri seni.

“Walaupun sudah tua dan duduk atas kerusi roda sekalipun saya masih ingin buat apa yang sedang dilakukan sekarang ini,” jelas pemuda berusia 23 tahun itu.

Tidak kisah dianggap sebagai workaholic, anak kedua daripada tiga beradik itu juga berpeluang untuk mengacara rancangan Astro, Hello I Have Issues yang menceritakan tentang isu semasa yang berlaku dalam kalangan orang muda dan remaja.

Minat mendalam terhadap bidang tersebut telah memudahkan perjalanannya mengejar sukses. Katanya, tuhan adalah perancang terbaik kerana setakat ini tiada apa yang menghalangnya dalam menggapai karier idamannya.

Bagaimanapun, apa jua yang ingin dilakukan pasti ada cabarannya. Bagi Keanu, bercakap dengan santai dan bersahaja dalam konti radio antara cabaran terbesar yang harus diharungi dalam kehidupannya.

“Orang anggap bercakap di radio ini mudah kerana tidak nampak muka. Tetapi sebenarnya, sangat susah untuk kedengaran natural semasa menyampai radio.

“Pada dua minggu pertama memulakan pekerjaan ini, saya hampir putus asa kerana cabaran itu terlalu berat untuk diatasi.

“Namun, perasaan itu tidak mampu menghentikan langkah saya kerana sebagai manusia kita takkan lari daripada membuat kesilapan,” katanya yang masih solo.

Menjadikan Ryan Seacrest sebagai idolanya, Keanu berharap dia akan lebih banyak mengacara rancangan televisyen dalam bahasa Melayu pada masa akan datang dan ingin mula mencuba dunia lakonan jika berpeluang.

“Orang selalu cakap saya baru berumur 23 tahun tetapi sudah yakin untuk melakukan pekerjaan ini. Rahsianya mula daripada awal.

“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai dengan kisah ini,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×