Petron catat keuntungan bersih RM178 juta - Utusan Malaysia

Petron catat keuntungan bersih RM178 juta

MARGIN bertambah baik berikutan kenaikan harga bahan api. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. (Petron) terus merekodkan keputusan kewangan yang kukuh dengan mencatatkan keuntungan bersih RM178 juta untuk tempoh sembilan bulan pertama 2021.

Pencapaian itu merupakan pemulihan lengkap daripada kerugian bersih RM55 juta yang ditanggung dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut Petron, margin bertambah baik berikutan kenaikan harga bahan api ditambah dengan pengurusan kos dan program kemajuan keefisienan oleh syarikat.

Katanya, susulan sekatan pandemik yang berpanjangan diikuti oleh Pelan Pemulihan Nasional suku ketiga, jumlah jualan syarikat menurun sebanyak 21 peratus kepada 6.1 juta tong daripada 7.7 juta tong pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam masa sama katanya, pemulihan permintaan minyak global meningkatkan harga minyak mentah Brent sebanyak 71 peratus kepada purata AS$74 (RM311.43) setong pada suku ketiga daripada AS$43 (RM180.97) setong tahun lepas.

“Dengan itu, pendapatan jualan Petron meningkat sebanyak 30 peratus kepada RM2.2 bilion daripada RM1.7 bilion dalam tempoh tersebut.

“Syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM33 juta bagi suku ini, di mana sebahagiannya disumbangkan oleh operasi loji penapisan yang lebih baik berikutan projek-projek yang baru dilancarkan di Loji Penapisan Port Dickson.

“Ia walaubagaimanapun, masih lebih rendah daripada keuntungan bersih RM98 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, di mana syarikat mendapat laba ekoran pemulihan harga minyak selepas gelombang pertama pandemik,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Petron, Ramon S. Ang yakin syarikat akan mendapat manfaat ekoran pemulihan ekonomi negara yang berterusan.

“Kami menumpukan sasaran untuk melancarkan lebih banyak program yang akan membantu meningkatkan jumlah jualan kami dan mengekalkan keputusan kewangan kami yang kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×