PETALING JAYA: Keuntungan TH Plantations Berhad meningkat 67 peratus kepada RM39.76 juta untuk suku ketiga tahun kewangan 2021 berbanding RM23.86 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil pendapatan untuk suku ketiga tahun ini meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM205.87 juta, berbanding tempoh sama 2020.
THP dalam kenyataan berkata, pendapatan yang baik pada suku ketiga disumbang oleh purata harga jualan yang lebih tinggi untuk produk sawit.
Purata harga jualan masing-masing meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lalu bagi Minyak Sawit Mentah (MSM) sebanyak 43 peratus pada RM3,640 per tan metrik, Buah Tandan Segar (BTS) 80 peratus pada RM912 per tan metrik, dan Isirong Sawit sebanyak 73 peratus pada RM2,453 per tan metrik.
“Pada peringkat operasi, syarikat terus menunjukkan prestasi yang lebih mantap dengan melaporkan keuntungan kasar sebanyak RM89.37 juta bagi suku ketiga tahun ini berbanding RM76.60juta untuk suku yang sama tahun lalu.
“Syarikat masih meneruskan usahanya untuk meningkatkan kos kecekapan dan produktiviti dengan mengoptimumkan usaha mekanisasi bagi mengurangkan kesan kekurangan tenaga buruh dan memastikan pembangunan positif pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan, THP terus berwaspada terhadap pengaruh pasca pandemik Covid-19 terhadap ekonomi dunia dan pasaran minyak sawit.
“Walau bagaimanapun, THP optimis terhadap tahap harga jualan semasa produk sawit akan kekal baik sehingga hujung tahun, berikutan musim pengeluaran yang rendah, kekurangan buruh serta tahap inventori minyak sawit yang rendah di Malaysia.
“Berdasarkan harga jualan semasa produk minyak sawit yang menggalakkan dan tiada keadaan di luar jangka, kumpulan menjangkakan prestasi untuk Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2021 akan lebih baik daripada 2020,” jelasnya. – UTUSAN










