Pasaran halal negara mampu jana pendapatan eksport RM56 bilion - Utusan Malaysia

Pasaran halal negara mampu jana pendapatan eksport RM56 bilion

PASARAN halal di Malaysia berpotensi besar untuk diterokai oleh usahawan tempatan dan pelabur asing. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ekonomi halal global dilaporkan akan meningkat kepada RM10 trilion menjelang tahun 2024.

Beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut melaporkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada tahun 2025.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang tahun lalu sahaja, industri halal menyumbang sejumlah RM9.7 bilion kepada KDNK negara, menunjukkan industri halal berpotensi menjana ekonomi negara kerana populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan jumlah ini akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada tahun 2030.

“Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga boleh mencecah AS$680 bilion setahun.

“Sehubungan itu, melihat kepada potensi besar industri halal ini, saya menyeru agar semua agensi, kementerian yang berkaitan, dan pemain industri, berusaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

Ismail Sabri berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan tiga mekanisme bagi meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal di semua rantaian.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai usaha pemerkasaan rantaian halal khususnya bagi ekosistem daging import selepas negara digemparkan dengan pembongkaran kartel daging diimport dari beberapa negara luar sekali gus membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, melalui tiga mekanisme itu, Jakim dengan kerjasama agensi mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang, mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.

“Mekanisme kedua ialah produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai SPHM di bawah skim logistik kategori pengangkutan.

“Ketiga ialah mewujudkan prosedur mandatori pembungkusan semula (repacking) yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan dengan kesemua inisiatif ini penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin,” katanya.

Ismail Sabri berkata, ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara, manakala Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman pensijilan halal Malaysia.

Beliau berkata, dalam usaha memperkasakan lagi pensijilan halal Malaysia, Jakim juga sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta.

Katanya, inisiatif ini akan merangkumi enam sistem iaitu MYEHALAL (domestik), MYEHALAL (antarabangsa), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

“Contohnya melalui MyIHAB, Jakim dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara yang diiktiraf Jakim melalui perancangan yang dijangka bermula pada 2023, Keluarga Malaysia dapat menyemak status halal produk dari luar negara melalui sistem ini,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Jakim juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Pensijilan Halal Malaysia.

Katanya, ia antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon pensijilan halal Malaysia secara langsung daripada Jakim dan pada masa sama, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×