ARAU: Langkah jentera Barisan Nasional (BN) lebih memfokuskan soal rakyat berbanding bermain isu atau serangan terhadap pihak lawan membuahkan hasil apabila parti tersebut berjaya menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Siti Norayu Mohd. Basir pula berkata, berdasarkan pemerhatian melalui media sosial, jentera BN tidak berhenti memberi khidmat kepada masyarakat.
Katanya, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadikan parti itu membuat persediaan lebih awal dari segi gerak kerja yang dekat dengan rakyat khususnya yang terkesan berikutan pandemik Covid-19.
“Ia dilihat tidak tertumpu di Melaka tetapi seluruh negara. Gerakan ini, nampak kecil namun saban hari dipaparkan di media sosial mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN.
“Hasilnya, BN menang selesa di Melaka. Itu antara faktor kemenangan BN selain daripada peratusan keluar mengundi yang kecil dan kesukaran jentera pilihan raya melakukan gerakan secara bersemuka ekoran Covid-19.
“Faktor-faktor tersebut dilihat kurang diberi perhatian oleh pesaing-pesaing mereka termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.
BN memenangi 21 daripada 28 kerusi iaitu dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menyaksikan tambahan lapan kerusi, berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada PRU- 14.
Mereka menewaskan PH yang hanya memenangi lima kerusi dan PN dua kerusi daripada 28 kerusi dipertandingkan.
Tambah Siti Norayu, selain itu, akar umbi yang kuat selain Melaka sebagai kubu kuat BN memberi kelebihan kepada parti itu.
“Apabila BN menang cemerlang dengan majoriti dua pertiga, ia memperlihatkan pengundi Melaka merasakan hanya BN yang mampu membawa kegemilangan Melaka seperti sebelum PRU-14.
“Saya percaya BN akan kembali menjadi pilihan pada PRU-15 hasil daripada inisiatif yang konsisten jenteranya melalui gerakan-gerakan kecil yang memfokuskan kepada kebajikan rakyat itu.
“Walau kecil namun impaknya sangat besar dalam mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada BN,” katanya. -UTUSAN ONLINE











