Bursa Securities ambil tindakan mahkamah ke atas Serba Dinamik - Utusan Malaysia

Bursa Securities ambil tindakan mahkamah ke atas Serba Dinamik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) memaklumkan, pihaknya telah memfailkan saman pemula di Tinggi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini terhadap Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik).

Menurutnya, saman itu difailkan di bawah Seksyen 360(1)(c)(i) dan/atau (ii) (J) dan/atau (K) dan/atau (M), 360(1)(4) dan 360(13)(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk memerintahkan Serba Dinamik membuat pengumuman awam segera tentang Kemas Kini Penemuan Fakta pada Kajian Bebas Khas 30 September 2021.

Jelasnya, tindakan mahkamah dibuat berikutan kegagalan Serba Dinamik untuk mematuhi arahan pihaknya bertarikh 22 Oktober 2021.

“Arahan Bursa Securities telah dikeluarkan yang memerlukan Serba Dinamik mendedahkan penemuan material Kemas Kini Penemuan Fakta pada 30 September 2021, dibuat oleh Ernst & Young Consulting, yang telah dilantik oleh Serba Dinamik untuk menjalankan semakan bebas bagi menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang diketengahkan oleh juruaudit berkanunnya ketika itu, KPMG.

“Permohonan mahkamah dibuat bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab Bursa Securities dalam mengawal selia kelakuan dan menguatkuasakan pematuhan terhadap kewajipan berterusan syarikat tersenarai menurut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Bursa Securities, tindakan itu diperlukan antara lain untuk menegakkan dan memelihara integriti pasaran modal dan memudahkan persamaan akses kepada maklumat material yang mempengaruhi syarikat tersenarai.

Katanya, ia penting untuk membolehkan Bursa Securities, yang diamanahkan dengan tugas berkanunnya, memastikan pasaran yang teratur dan adil.

“Bursa Securities ingin mengulangi bahawa syarikat tersenarai mesti memaklumkan kepada umum dengan segera pendedahan sebarang maklumat penting di bawah MMLR dan Kemas Kini Penemuan Fakta adalah maklumat material mengikut MMLR.

“Semua pelabur mesti dimaklumkan dengan baik dan diberi akses yang sama kepada maklumat material agar dapat berdagang dengan kedudukan yang sama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×