Khidmat dua ADUN PN lebih berkesan jika bersama kerajaan Melaka - Utusan Malaysia

Khidmat dua ADUN PN lebih berkesan jika bersama kerajaan Melaka

EDDIN Syazlee Shith (tiga dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Ipoh Kali Ke-42 di Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu dari Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru mampu berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat di kawasan mereka sekiranya bersama kerajaan negeri Melaka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, kedua-dua mereka iaitu Dr. Mohd Aleef Yusof di kerusi Sungai Udang dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub di Bemban yang kedua-duanya dari Bersatu, merupakan golongan profesional dan mungkin boleh memberi kesan perkhidmatan yang baik sekiranya mereka bersama dengan kerajaan Melaka.

“Tiada masalah sama ada sebagai back-bencher (penyokong kerajaan) ataupun bersama kerajaan Melaka, tetapi, saya tidak fikir dalam keadaan sekarang, UMNO perlukan kita, sebab UMNO sudah yakin, mereka tidak perlukan siapa-siapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kami di Bersatu, yang paling penting kami dapat berkhidmat kepada rakyat, dalam apa juga keadaan, yang penting rakyat dapat faedah.

“Tetapi dua ADUN ini golongan profesional, dua doktor ini mungkin boleh beri kesan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat mereka sekiranya bersama kerajaan, kalau tidak bersama pun tidak apa, tetap boleh berkhidmat,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Ipoh Kali Ke-42 di Seri Menanti di sini hari ini.

Sementara itu, Eddin Syazlee yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan berkata, keputusan PRN Melaka lalu tidak mematahkan semangat PN untuk bekerja lebih kuat dan mencari lebih banyak sokongan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kami sedikit pun tidak terjejas dengan tumpuan bagi membuat persiapan untuk PRU-15, kami terima dengan rasa hormat di atas kehendak dan pilihan rakyat di Melaka.

“Kami terima juga sebagai satu cabaran, mungkin ada kelemahan di peringkat parti yang perlu kami perbaiki, jadi kami ambil ini dalam konteks positif untuk kami perbaiki kelemahan dan kekurangan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×