'Saya bisikkan kepada Perdana Menteri, bukan ketua kampung' - Utusan Malaysia

‘Saya bisikkan kepada Perdana Menteri, bukan ketua kampung’

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menyuarakan pandangan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan kerana Perdana Menteri merupakan ketua bagi Kabinet yang lain.

Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa keputusan untuk membubar Parlimen dan mengadakan PRU-15 ditentukan oleh Kabinet dan bukan parti tertentu.

“Apa beliau cakap itu betul, ia keputusan Kabinet, sebab itu saya bisikkan kepada Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi Kabinet. Saya tidak perlu bercakap kepada setiap Kabinet.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bukan bisikkan kepada ketua kampung, biar Perdana Menteri bincang dalam kalangan ahli Kabinet. Jika mereka meletakkan keutamaan kepada kepentingan negara, mereka mesti membincangkannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di sini.

Sebelum ini media melaporkan, saranan Mohamad supaya PRU-15 dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat dan perkara itu juga telah disuarakan beliau kepada Ismail Sabri sebaik sahaja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, saranannya itu bukanlah semata-mata kerana BN dan UMNO telah menang pada PRN Melaka tetapi berasakan rakyat perlu diberikan mandat semula untuk membentuk sebuah kerajaan yang sahih dan diiktiraf seluruh dunia.

“Saya melihat kerajaan ini mesti mendapat mandat, kerajaan yang mendapat mandat rakyat akan diiktiraf seluruh dunia, itu maksud saya. Mengapa negara luar tidak mahu datang dan melabur di negara kita, kerana mereka tidak mengiktiraf kerajaan yang sebegini, sekali mengundi dapat tiga Perdana Menteri.

“Negara-negara Barat melihat kerajaan kita hari ini bukanlah sebuan kerajaan yang sahih kerana ia tidak dipilih oleh rakyat, sebab yang dipilih oleh rakyat dahulu adalah Pakatan Harapan. Elok pulangkan semula mandat kepada rakyat, agar proses demokrasi mengambil tempat dan apa juga keputusan nanti, itulah keputusan rakyat, kita perlu hormati.

“Bukan kerana kita menang di Melaka, kita nak buat pilihan raya segera atau tidak, saya memikirkan tentang negara, saya fikirkan tentang ke mana arah kita ini, sampai bila kita mahu begini, jadi kita buatlah segera,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×