KOTA BHARU: Minat mendalam membuatkan seorang pembantu perawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Mohd. Azemi Mohd. Noor tidak pernah jemu menuntut ilmu membuat wau sejak lebih 30 tahun lalu.
Ilmu tersebut tidak disimpan sendiri, sebaliknya diturunkan pula kepada seramai mungkin golongan pelapis sejak 15 tahun lalu sehingga Mohd. Azemi, 42, kini turut dikenali sebagai ‘Cikgu Wau’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Azemi yang turut menjadi tenaga pengajar membuat wau di Pusat Ko-kurikulum USM Kubang Kerian di sini berkata, dia mula didedahkan dengan seni permainan tradisi itu seawal usia lima tahun.

“Saya bermain wau dan belajar membuatnya sendiri sejak kecil kerana ayah, Mohd. Noor Mamat, 80, atau dikenali Pok Noor memang pakar wau tradisi dan menjadi guru kepada ramai pelapis.
“Selain minat mendalam, saya tidak mahu legasi ayah terhenti. Jadi, walaupun sibuk bekerja, saya tetap berusaha membahagikan masa untuk membuat wau dan mengajar orang lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd. Azemi yang mempunyai bengkel membuat wau di Kampung Sering, di sini setakat ini berjaya menghasilkan lebih 1,000 wau tradisi Kelantan seperti wau bulan dan jala budi selain turut mahir membuat wau tradisi negeri-negeri lain.
“Saya mempelajari seni membuat wau dengan pelbagai pihak hingga ke luar Kelantan. Selain itu saya juga kerap membeli wau dibuat pakar tersohor di segenap pelosok tempat supaya saya dapat meneliti seni ukiran mereka.
“Selain itu saya juga menyertai bengkel sobek dianjurkan Persatuan Pelayang Kelantan bagi memantapkan lagi ilmu pembuatan wau tradisi ini,” katanya yang kerap menjadi johan dalam Festival Wau dan Layang-Layang dianjurkan di seluruh negara.
Kehebatan Mohd. Azemi sebagai pakar wau tradisi terbukti apabila dia sering dipilih mewakili negara ke Festival Layang-Layang Antarabangsa di beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Itali, Turki, China dan Perancis.
Kata Mohd. Azemi, selepas dia berjaya meneruskan legasi ditinggalkan bapa, perkara sama kini diteruskan dua anaknya, Muhammad Faiz Danial, 15, dan Muhammad Danie Danial, 10, yang mempunyai minat mendalam terhadap seni itu sejak kecil. – UTUSAN











