PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan perkhidmatan baharu iaitu Wakaf ASNB yang membuka peluang kepada para pelabur melaksanakan amal kebajikan menerusi dana unit amanah ASNB mereka.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, ASNB adalah syarikat pengurusan unit amanah yang pertama dilantik sebagai mutawalli oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ujarnya, dengan pelantikan ini, ASNB memikul amanah untuk menguruskan dana wakaf itu sepenuhnya dengan tahap tadbir urus yang tinggi dan profesional untuk kepentingan ummah dan masyarakat.
“Pulangan pelaburan yang dijana daripada dana wakaf akan disalurkan ke projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan.
“Penelitian projek yang sesuai perlu melalui proses penilaian dan pemilihan secara kolektif oleh Jawatankuasa Pengagihan Wakaf Bersama ASNB-MAIWP yang terdiri daripada pentadbir aset wakaf iaitu ASNB Wakalah Sdn. Bhd. (AWSB), MAIWP dan ahli bebas, juga berperanan sebagai penasihat bagi urusan berkaitan isu-isu hukum seperti kepatuhan syariah, polisi, program dan urus tadbir dana wakaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Wakaf ASNB yang mula ditawarkan pada 25 Oktober lalu sempena Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021), semalam.
Unit amanah yang diwakafkan oleh pelabur akan dikekalkan sebagai pelaburan pokok bagi menjana pulangan tahunan. Pulangan daripada pelaburan pokok tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada projek-projek berkepentingan awam pada setiap tahun dan ia berterusan walaupun setelah pelabur meninggal dunia.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn memberitahu, PNB menyokong usaha memperkasakan industri wakaf di Malaysia dengan menawarkan Wakaf ASNB sebagai satu inovasi baharu kepada rakyat Malaysia.
“Sepanjang MSD 2021, PNB menawarkan pelbagai program berkaitan pelaburan dan perancangan kewangan termasuklah pengurusan kewangan Islam seperti perancangan harta pusaka melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, zakat dan wakaf,” tambah beliau.
Pelancaran Wakaf ASNB telah disusuli dengan sebuah forum bertajuk “Wakaf – Faedah yang Berkekalan” yang menampilkan dua ahli panel iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Izhar Ariff Mohd. Kashim dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, bersama moderator Ustaz Mohd. Hariri Mohamad Daud. – UTUSAN










