ARAU: Kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober lalu, merancakkan semula semua sektor ekonomi termasuk tawaran pakej bernikah di selatan Thailand.
Didakwa sebaik sahaja pengumuman boleh merentas negeri, ejen-ejen nikah Siam ini terus menerima tempahan daripada pasangan negara ini yang mahu disatukan.
Setiap ejen mendakwa mereka setakat ini mengumpul 20 hingga 300 pasangan yang berada dalam senarai menunggu untuk dibawa ke negara jiran itu.
Seorang ejen yang memperkenalkan diri sebagai Kak Wan, 30, mendedahkan, bakal-bakal pengantin tersebut tidak sabar menunggu pintu sempadan dibuka untuk melangsungkan perkahwinan tersebut.
Katanya, jumlah dalam senarai menunggu itu tinggi kerana dalam tempoh dua tahun ini, hajat mereka untuk melangsungkan perkahwinan di Thailand tertunda kerana pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi, mereka kini berada dalam senarai menunggu dan orang tengah saya sejak awal Oktober lalu hingga kini sudah mengumpul seramai 200 hingga 300 bakal pengantin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kak Wan memberitahu, kebanyakan bakal penganti itu menghubungi kami hampir setiap hari bertanyakan perkembangan bila mereka boleh dinikahkan.
“Mereka yang benar-benar mahu berkahwin ini, tidak peduli sangat pasal harga kerana lebih mementingkan untuk cepat mendirikan rumah tangga,” katanya.
Sejak PKP dilaksanakan, dia menghentikan urusan nikah buat sementara dan memaklumkan tiada pernikahan secara dalam talian dilakukan di negara ini.
Cerita Kak Wan dari ibu negara, ramai daripada mereka ingin bernikah di Thailand kerana mempunyai pelbagai masalah seperti perkahwinan dihalang serta pelbagai lagi masalah keluarga.
Kesan pandemik Covid-19 juga menyebabkan semakin ramai ejen nikah Siam muncul mungkin melihat `industri’ ini mampu menjana duit kerana ramai permintaan.
“Kalau nak dikira berapa ramai orang tengah, memang ramailah. Namun untuk jadi pengusaha atau ejen seperti kami pun semakin bertambah berbanding hanya beberapa orang sahaja sebelum ini.
“Pengusaha atau ejen pakej perkahwinan di Thailand kini bersedia untuk memulakan urusan mereka sebaik sahaja pembukaan pintu sempadan,” katanya.
Seorang lagi ejen yang enggan namanya didedahkan berkata, sejak kelonggaran rentas negeri dibenarkan, dia menerima lebih 20 pelanggan yang menanyakan urusan perkahwinan di Thailand.
Katanya yang beroperasi di Perlis, kebanyakkan pasangan dari Kuala Lumpur, Melaka dan Johor mahu melangsungkan perkahwinan di negara jiran tersebut atas faktor poligami.
“Selepas hampir dua tahun hilang pendapatan, Insya-Allah, selepas pintu sempadan kembali dibuka, kami akan mampu menjana semula pendapatan. Urusan nikah di Siam dijangka meningkat mendadak apabila pintu sempadan dibuka nanti.
“Melihat kepada perkembangan Covid-19 yang semakin reda dan Thailand pula sudah membuka semula sempadan kepada pengunjung daripada 46 negara berisiko rendah Covid-19 bermula 1 November lalu, saya jangka pintu sempadan kita juga sudah tidak lama akan dibuka,” katanya.
Tambahnya, bayaran yang dikenakan terhadap pasangan adalah sekitar RM3,000 sehingga RM5,000 termasuk penginapan sepanjang beberapa hari di negara tersebut.
Katanya, lazimnya dia hanya berperanan sebagai pemudah cara sehinggalah proses mendapatkan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Thailand selepas urusan selesai.
“Sepanjang membantu memudahkan cara perkahwinan di salah sebuah masjid di Thailand itu, kami mengikut semua syarat ditetapkan sehingga proses selesai.
“Kebanyakkan pasangan adalah dari luar negeri ini yang datang ke Perlis dan kita akan uruskan semua sehingga selesai. Rata-rata yang berkahwin di Thailand ini adalah tanpa pengetahuan isteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











