Peranan warga pempengaruh media sosial (influencer) dalam membentuk pendapat umum semakin ketara terutamanya daripada aspek tingkah laku pengguna. Ia selari dengan capaian mereka yang luas serta hubungan langsung dibina bersama pengikut mereka. Tinjauan Statista dan Rakuten Insight, Oktober tahun lepas meliputi 8,182 warganegara Malaysia mendapati, 59 peratus terdorong membeli sesuatu produk kerana ianya disokong oleh pempengaruh.
Bagaimanapun, kebelakangan ini, terdapat peningkatan kes membimbangkan di mana pengikut diperdaya pempengaruh melalui produk dipromosikan. Malah ada pempengaruh terlibat secara langsung dalam penipuan atau scam. Kes-kes tersebut merangkumi pelbagai jenis penipuan seperti paparan iklan berbayar yang menyamar sebagai perkongsian ikhlas ataupun promosi produk kesihatan dan kecantikan yang diragui. Jelas bahawa tingkah laku tidak beretika oleh pempengaruh boleh memberi kesan buruk bukan saja kepada pengguna sebaliknya boleh mengancam industri influencer secara keseluruhannya.
Pengarah Esekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood, berkata pempengaruh memiliki pengaruh sosial dalam komuniti mereka dan kepercayaan merupakan tunggaknya.
Katanya pempengaruh yang tidak mendedahkan bahawa produk yang disyorkan oleh mereka adalah sebenarnya iklan berbayar, menidakkan hak pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat.
“Pengguna mungkin tidak sebegitu yakin untuk melakukan pembelian sekiranya mereka tahu pempengaruh dibayar untuk membuat kenyataan atau testimoni yang dikongksikan,” katanya.
Sehubungan itu, Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) percaya bahawa kawalselia kendiri adalah cara terbaik mewujudkan persekitaran dalam talian yang sihat untuk pencipta kandungan dan juga pihak pengguna.
Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) merupakan sumber rujukan terbaik bagi amalan kawalselia kendiri. Ia dirangka Forum Kandungan pada 2004 dan mengandungi garis panduan mengenai amalan terbaik dan piawaian etika dalam ruang digital.
Selain mengelakkan tuntutan palsu, mengelirukan atau ditokok tambah, apa jua testimoni diberi harus tulen dan berkaitan pengalaman sendiri pempengaruh setelah menggunakan produk atau perkhidmatan berkenaan.
Mediha berkata, kawalselia kendiri boleh membantu pempengaruh mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul dari pendedahan amalan yang tidak bertanggungjawab.
“Pempengaruh haruslah berhati-hati kerana hanya satu kesilapan sahaja boleh memberi kesan buruk terhadap segala usaha mereka selama ini. Antaranya boleh mencemarkan nama dan mengakibatkan kehilangan mata pencarian,” katanya.
Forum Kandungan kini sedang menjalankan runding awam di peringkat kebangsaan bagi mengumpulkan maklum balas masyarakat tentang cadangan meminda Kod Kandungan.
Antara pindaan dicadangkan adalah garis panduan menggalakkan pempengaruh memberi makluman tentang promosi berbayar dan meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak bawah umur daripada dimanipulasi oleh pengiklan.










