GRETA Thunberg menyifatkan Persidangan Perubahan Iklim (COP26) yang berlangsung di Glasgow, Scotland baru-baru ini sebagai ‘satu kegagalan’ dan ‘semata-mata penyampaian perhubungan awam’.
Dalam satu protes melibatkan golongan belia di Glasgow, aktivis berusia 18 tahun itu memberitahu, COP26 hanya sekadar ‘tempat untuk berbual kosong yang tiada matlamat’.
Dia juga mengkritik misi pemimpin dunia untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon yang mencetuskan pemanasan global.
“Kita tidak perlukan misi menjelang 2030 atau 2050 untuk lakukan semua itu. Sebaliknya, kita sudah pun mulakan usaha itu sejak tahun lalu dan teruskan setiap bulan serta tahun mendatang,” tegasnya.
Bagaimanapun, Thunberg enggan mendedahkan apakah langkah yang sewajarnya perlu dilakukan untuk merealisasikan misi tersebut.
“Hal itu, tiada kaitan dengan saya, mereka (pemimpin dunia) lebih tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.
SIAPA GRETA THUNBERG
Thunberg semakin dikenali dunia selepas dia melakukan protes di luar Parlimen Sweden pada 2018 ketika berusia 15 tahun.

Gadis yang menghidap sindrom Asperger iaitu sejenis penyakit gangguan saraf yang turut dikaitkan dengan autisme itu memegang sepanduk tertulis ‘mogok sekolah untuk iklim’ dalam protes tersebut.
Protes itu dilakukan untuk menekan kerajaan Sweden mencapai sasaran pengeluaran karbon yang ditetapkan sebelum ini.
Mungkin protes itu dilihat ‘sama seperti demonstrasi lain’, namun siapa sangka, seluruh dunia menyokong tindakan gadis muda itu, sehinggakan ribuan golongan belia di di pelosok dunia berani menganjurkan protes mereka sendiri.
Menjelang 2018, lebih 20,000 pelajar dari United Kingdom (UK) hingga ke Jepun menyertai misi Thunberg untuk melancarkan demonstrasi.
Setahun kemudian, gadis itu menerima satu daripada tiga Hadiah Nobel Keamanan bagi kategori aktivis iklim.
BERTEMU PEMIMPIN DUNIA
Pada 2019, Thunberg belayar merentasi lautan Atlantik untuk menghadiri COP di New York.
Thunberg dengan lantang menyuarakan pandangannya, menyebut apa yang dilakukan oleh pemimpin dunia ketika ini adalah tidak cukup.
“Anda harapkan golongan muda seperti kami untuk memelihara alam dan iklim. Berani sungguh anda buat begini.
“Anda semua mencuri impian dan zaman kanak-kanak kami dengan kata-kata kosong anda,” ujarnya dalam persidangan itu.
Kelantangan Thunberg itu menyaksikan dia diiktiraf sebagai Individu Pilihan Tahun 2019 oleh majalah Time.
PENDAPAT ORANG TENTANG THUNBERG
Gadis muda itu menerima sokongan daripada pelbagai pihak, terutamanya golongan aktivis iklim, saintis dan golongan kenamaan.
Wartawan penyiaran UK, David Attenborough menyifatkan Thunberg berjaya melakukan banyak perkara yang orang lain gagal melaksanakannya.
“Anda sudah bangkitkan dunia. Kami bertuah kerana anda ada di sini,” puji Attenborough.

Putera Harry juga memuji kempen Thunberg dengan menyatakan setiap negara, setiap komuniti, setiap sekolah, setiap keluarga dan setiap hubungan persahabatan memerlukan ‘Greta’.
Presiden COP26, Alok Sharma turut tidak terlepas memuji Thunberg apabila memaklumkan ucapan gadis itu dalam persidangan 2019 membuatkan beliau berasa ‘tidak selesa’.
Namun, tidak semua ahli politik menganggap kempen Thunberg sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegur Thunberg supaya dia ‘mengawal kemarahannya’, manakala Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkannya sebagai ‘gadis yang baik, namun menerima maklumat yang tidak sepatutnya’.
LATAR BELAKANG THUNBERG
Gadis itu memberitahu, sindrom Asperger yang dihidapinya merupakan satu anugerah dan dia tidak malu dengan ‘kelebihan’ itu.
Katanya, menjadi lain daripada yang lain memberikannya semangat tinggi dalam apa jua yang dilakukan.
Ibu Thunberg, Malena Ernman merupakan penyanyi opera, manakala bapanya, Svante Thunberg adalah aktor dan keturunan saintis yang mencipta model kesan rumah hijau.
Gadis itu dilahirkan pada 3 Januari 2003 dan fasih berbahasa Inggeris.










