Undi kaum hawa, penentu ketua menteri wanita pertama - Utusan Malaysia

Undi kaum hawa, penentu ketua menteri wanita pertama

MAS ERMIEYATI Samsudin (kiri) bersama Wan Saiful Wan Jan dalam sidang akhbar PN di bilik gerakan PN di Tanjung Bidara, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Undian kaum hawa dalam  Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi penentu bagi merealisasikan hasrat melihat seorang wanita diangkat sebagai ketua menteri.

Calon Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin merayu sokongan pengundi-pengundi wanita untuk memberi peluang kepada partinya bagi membentuk kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak penuh dengan semangat, jiwa dan cara baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar walaupun baru dinamakan sebagai calon. Saya menganggap ini satu pengiktirafan kepada wanita bukan hanya daripada PN, tetapi di seluruh negara. Hari ini tiada yang mustahil.

“Saya mohon dan merayu kepada semua untuk memberi ruang dan kepercayaan kepada calon-calon PN. Bukan hanya kepada saya, tapi seluruh calon PN bagi membolehkan seorang ketua menteri wanita dapat direalisasikan,” katanya dalam sidang akhbar PN di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, pengumuman beliau sebagai calon ketua menteri bukan bermakna memiliki kelebihan untuk menang di kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.

Jelasnya, bertanding di Tanjung Bidara sudah menjadi cabaran besar buatnya.

“Saya mempunyai satu hari sahaja lagi untuk mendapatkan keyakinan pengundi di sini. Saya tidak anggap pengumuman ini sebagai advantage (kelebihan) dan pada masa sama tidak boleh terlalu selesa.

“Saya mohon pengundi Tanjung Bidara beri kepercayaan dan peluang kepada saya Sabtu ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×