Wan Saiful cabar BN kutuk 'kerakusan' Najib - Utusan Malaysia

Wan Saiful cabar BN kutuk ‘kerakusan’ Najib

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar Barisan Nasional (BN) supaya mengecam ‘kerakusan’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu hartanah bernilai RM100 juta.

Beliau menyifatkan permohonan Najib itu memalukan dan hanyalah bertujuan mahu ‘merompak’ lagi duit rakyat.

“Saya membantah cadangan membeli mahligai mewah untuk Najib Razak dengan duit rakyat. Ini adalah satu lagi idea untuk merompak wang rakyat dengan cara yang tak tahu malu. Tepat sekali dengan perangai “malu apa” yang Najib bawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Nampaknya “poster boy” kempen BN di Melaka ini memang betul-betul beriman dan beramal dengan perangai “malu apa”. Langsung tak tahu malu untuk rompak duit rakyat,” katanya menerusi akaun Facebook peribadi miliknya.

Justeru, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau mencabar pemimpin BN Melaka terutama Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh selaku Pengerusi BN Melaka untuk mengutuk kerakusan Najib Razak.

“Jika Datuk Seri Rauf diam, maka saya anggap beliau dan BN menyokong sifat tamak dan rakus Najib. Apa jaminan Rauf tidak akan meniru ketamakan Najib?

“Rakyat Melaka sudah pasti boleh menilai sikap tokoh BN. Ada kalangan mereka tidak pernah berubah.

“Saya yakin rakyat Melaka bijaksana dalam memilih pada Sabtu nanti,” katanya.

Najib menimbulkan kontroversi apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan di Dewan Rakyat semalam bahawa Kabinet menerima permohonan daripadanya untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Tengku Zafrul berkata, permohonan Najib tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan, namun mengakui jemaah menteri akan membuat keputusan terhadap permohonan tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×