Lebih 740 juta unit ASN Equity Global dilanggan 14,000 pelabur - Utusan Malaysia

Lebih 740 juta unit ASN Equity Global dilanggan 14,000 pelabur

ARIFIN Zakaria (kiri) disaksikan Ahmad Zulqarnain Onn melancarkan ASN Equity Global sempena perasmian Minggu Saham Digital 2021 di Kuala Lumpur, secara maya, semalam. – FOTO PNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 740 juta unit dana unit amanah harga berubah terbaharu, ASN Equity Global telah dilanggan kira-kira 14,000 pelabur sejak mula ditawarkan pada 1 September hingga 15 November lalu.

Dana oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu adalah yang pertama memfokuskan sepenuhnya kepada ekuiti glo­bal ini menawarkan peluang kepada semua warga Malaysia untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam pasaran antarabangsa.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ASN Equity Global merupakan usaha ASNB untuk memperkenalkan konsep pelaburan kontemporari yang menepati cita rasa pelabur yang ingin mendapatkan pulangan menerusi pasaran ekuiti global.

“Pelaburan dalam dana ini juga sesuai bagi pelabur yang mempunyai tahap risiko tinggi dan menginginkan pulangan yang lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

“Para pelabur boleh memantau prestasi pelaburan mereka dengan mudah di portal dan aplikasi myASNB serta perbankan internet, dan mereka turut menikmati caj jualan yang lebih rendah.” katanya.

Majlis pelancaran dana terbaharu ASNB ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria pada majlis pelancaran Minggu Saham Digital 2020 (MSD 2021) secara maya, semalam.

Sempena penganjuran MSD 2021 yang bermula kelmarin hingga 23 November ini, ASNB tidak akan mengenakan sebarang caj jualan untuk semua pelaburan melebihi RM1,000 dalam dana-dana harga berubah melalui portal dan aplikasi myASNB.

Bertemakan #LaburBersama, MSD 2021 bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman orang ramai tentang simpanan dan pelaburan dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat PNB dan operasi perniagaan mereka.

Arifin dalam ucapan perasmiannya berkata, bermula dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) sejak dua dekad lalu, program tahunan literasi kewangan PNB itu telah beralih kepada platform digital sejak tahun lalu.

Jelasnya, walaupun secara fizikal atau dalam talian, objektif Minggu Saham kekal sama, iaitu untuk mendidik serta menyemai kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya merancang kewangan daripada usia muda.

“Jika sebelum ini MSAM berjaya menarik penyertaan kira-kira empat juta rakyat Malaysia selama 20 tahun penganjurannya, MSD yang julung kali dianjurkan tahun lepas telah berjaya menarik lebih dua juta tontonan untuk acara yang berlangsung selama tujuh hari.

“Sambutan menggalakkan daripada orang ramai telah mendorong PNB untuk meneruskan MSD pada tahun ini. Ia kekal sebagai salah satu platform interaktif untuk rakyat Malaysia mendalami ilmu kewangan dan mengenali PNB serta syarikat pelaburan kami dengan lebih dekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam video perutusannya mengucapkan tahniah kepada PNB atas usaha menganjurkan MSD 2021 dan menyifatkannya sebagai platform terbaik bagi rakyat Malaysia untuk sama-sama mempelajari tip mengurus kewangan, menabung dan melabur dalam suasana santai dan selesa bersama keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×