PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2024 untuk terus membangunkan grid masa depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga.
Pelaburan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan kerajaan, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.
“Ini akan dilaksanakan dengan menghubungkan keseluruhan rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehingga ke premis-premis pelanggan,” katanya merasmikan Persidangan Aantarabangsa Pembangunan dan Pembelajaran (ICLAD2021) di Bangsar, Selasa lalu.
Ali berkata, sebagai menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025, grid nasional mesti bersedia menerima RE untuk menyokong aliran tenaga dua hala dinamik, sambil mengekalkan kestabilan voltan.
Kata beliau, TNB telah menunjukkan perkembangan ketara dalam menggabungkan kelestarian dalam rangkaiannya melalui pemodenan grid nasional.
Malah katanya, TNB telah mencapai kemajuan besar dalam persediaan menuju peralihan tenaga dengan memperkenalkan inisiatif Reimagining TNB pada 2016, di mana inisiatif strategik itu adalah langkah penting ke arah melaksanakan kelestarian.
Tambahnya, langkah itu dapat mewujudkan sistem grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan, pintar dengan teknologi digital di samping fleksibel dalam memenuhi keperluan negara untuk peralihan tenaga.
“Dalam memenuhi keperluan ini, pulangan munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengekalkan perbelanjaan modal yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata, TNB terus komited untuk melabur ke arah peralihan tenaga, selaras usaha-usaha menyediakan sokongan ekonomi kepada kerajaan.
“Isu perubahan iklim menjadi keutamaan utama pelaburan TNB di samping menyokong dan merangsang agenda pemulihan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










