Selangor hab perniagaan global - Utusan Malaysia

Selangor hab perniagaan global

TENGKU Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) diiringi Amiruddin Shari, berkenan melawat ruang pameran SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – utusan/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selangor ideal sebagai hab perniagaan global bagi pelabur asing dalam usaha menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa, menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Beliau berkata, ia disokong oleh lokasi strategik Selangor dengan dua lapangan terbang antarabangsa utama dan pelabuhan kontena kedua tersibuk di rantau ini, serta rangkaian jalan raya dan landasan kereta api yang maju.

“Selain itu, rantaian nilai Selangor yang mantap dalam pelbagai industri dari aeroangkasa hingga ke farmaseutikal dan industri halal serta sokongan yang sangat baik oleh kerajaan negeri memudahkan mereka untuk menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa.

“Selangor juga menawarkan pelbagai kelebihan kepada pelabur asing yang memudahkan rancangan perniagaan mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS 2021).

Majlis dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Ini adalah edisi kelima siri persidangan dan pameran yang disokong kerajaan negeri sejak penubuhannya pada 2016. Bertemakan ‘Selangor Gerbang ke ASEAN’, acara bermula semalam hingga 21 November itu menghimpunkan jenama global dan mengumpul pemain industri dari seluruh dunia.

Mengulas mengenai SIBS 2021, Amirudin berkata, inisiatif tahunan utama itu merupakan saluran utama untuk perniagaan ASEAN dan antarabangsa mengetahui peluang yang ada di negeri itu.

Jelasnya, acara itu mewakili peluang untuk menghubungkan perniagaan kepada peluang baharu yang penting di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang sangat mencabar kini.

“Melalui pelbagai persidangan dan pamerannya, SIBS 2021 akan membentangkan peluang pertumbuhan yang terdapat di negeri ini, terutamanya dalam lima kluster teras Selangor.

“Lima kluster teras ini termasuk rangkaian industri, daripada aeroangkasa hingga farmaseutikal, yang mempunyai potensi tertinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi untuk tempoh terdekat serta masa depan.

“Selain itu, kluster makanan dan minuman (F&B) adalah antara industri yang paling pesat berkembang, terutamanya pasaran halal, yang berpotensi untuk memacu ekonomi negeri dan negara dengan hebat,” ujarnya.

Acara fizikal itu menampilkan kira-kira 500 gerai pameran, manakala 800 gerai pameran dapat diakses menerusi www.selangorbusinesshub.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×