Kenanga Investors dilantik Pengurus Dana Wakaf Bencana - Utusan Malaysia

Kenanga Investors dilantik Pengurus Dana Wakaf Bencana

Majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kenanga Investros, Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan MATCH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenangan Investors Berhad telah dilantik sebagai Pengurus Dana Wakaf Bencana, dana bantuan kecemasan yang diwujudkan bagi menyalurkan sumber kepada mereka yang terkesan oleh bencana berkaitan perubahan iklim dan pandemik Covid-19.

Kerjasama di antara Kena­nga Investors bersama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Yayasan MATCH yang bertindak selaku agensi pengagihan, akan memastikan dana yang dikumpul akan dilabur serta diagihkan berdasarkan prinsip wakaf.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis berkata, pihaknya teruja untuk memberikan sokongan kepada institusi wakaf dengan cara mewujudkan struktur tadbir urus dana kecemasan melalui perkongsian strategik yang akan menyaksikan penggunaan sumber-sumber tepat pada masanya ke kawasan-kawasan yang memerlukan.

“Kami berbesar hati dilantik sebagai Pengurus Dana bagi Dana Wakaf Kecemasan sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan hasrat kerajaan terhadap kecekapan yang lebih tinggi dalam pengurusan wakaf.

“Pelantikan tersebut didorong oleh rekod pencapaian Kenanga Investors dalam pengurusan dana dan pengalaman dalam pengurusan aset-aset wakaf melalui Dana Al-Ihsan Wakaf Kenanga yang dilancarkan pada April 2021,” katanya dalam kenyataan sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dana itu.

Majlis itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay.

Dana terbabit akan menerima sebahagian daripada RM10 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2022. Ia sebagai sebahagian daripada dana pemula dan dana yang diterima daripada pelabur akan dilaburkan ke dalam dana borong yang diwujudkan oleh Kenanga Investors, selaras dengan struktur dana yang dicadangkan.

Pendapatan yang diperoleh akan diagihkan kepada pelabur dan YWM.

YWM kemudiannya akan menyalurkan peratusan dana yang diperuntukkan kepada Yayasan MATCH untuk pengaktifan respons kecemasan bagi membolehkan pulangan sampai kepada komuniti yang terdedah kepada risiko.

Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) melantik PwC Malaysia sebagai perunding bagi aspek Kewangan Sosial Islam, yang kemudian melaporkan keperluan mewujudkan dana kecemasan untuk mengurangkan bencana berkaitan iklim, selain melin­dungi nyawa dan mata pencarian golongan yang paling mudah terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×